KUALA LUMPUR – Cadangan penggabungan RHB Bank Bhd. dan AMMB Holdings Bhd. menemui jalan buntu.

RHB Bank dan AMMB kenyataan di Bursa Malaysia berkata, kedua-dua kumpulan perbankan tersebut bersetuju menghentikan rundingan selepas gagal mencapai kata sepakat.

Pengarah Urusan Kumpulan RHB, Datuk Khairussaleh Ramli berkata, dengan keputusan tersebut, RHB akan meneruskan pelaksanaan inisiatif di bawah strategi semasa bagi mencipta nilai kepada pemegang saham serta memberikan perkhidmatan terbaik kepada pelanggan.

“Kami ingin mengucapkan penghargaan kepada ahli lembaga pengarah dan pengurusan kanan Kumpulan AMMB di atas kerjasama mereka dalam perbincangan ini,” katanya.

Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AMMB, Datuk Sulaiman Mohd. Tahir berkata, kumpulan perbankan itu yakin dapat melangkah lebih jauh meskipun cadangan penggabungan tidak dapat direalisasikan.

“Strategi dan hala tuju kumpulan kekal sama. Kami kekal fokus kepada pelan perniagaan tahun kewangan 2018 sejajar dengan strategi Kumpulan Top 4 supaya kami dapat menjadi sebuah bank yang lebih baik dan memberikan pulangan optimal kepada pemegang saham,” katanya.

Dengan penamatan rundingan tersebut, Perjanjian Ekslusif yang dimeterai kedua-dua pihak pada 1 Jun lalu secara automatiknya terbatal.- MalaysiaGazette