Ayob Khan

KUALA LUMPUR – Trend rakyat Malaysia direkrut menyertai kumpulan pengganas militan Islamic State (Daesh) di Syria semakin menurun sejak kematian pemimpin IS Malaysia, Muhamad Wandy Muhamad Jedi.

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Counter Terrorism, Cawangan Khas Bukit Aman, Datuk Ayub Khan Mydin Pitchay bagaimanapun menegaskan ia tidak bermakna militan itu tidak aktif seperti dahulu.

Katanya, meskipun Muhamad Wandy sudah tiada, usaha merekrut rakyat Malaysia untuk sertai IS masih wujud dan terdapat juga usaha kumpulan yang sama cuba memasuki selatan Filipina.

“Mereka juga masih mempunyai perhubungan dengan rakyat Malaysia yang berada di Syria dan rakyat di Malaysia namun kita sudah mengambil tindakan dengan tiga penangkapan tahun ini dimana dua warga asing dan juga seorang rakyat tempatan yang direkrut oleh militan IS, Dr Mahmud Ahmad dan dibawa masuk ke Filipina.

“Pun begitu, trend kumpulan militan merekrut rakyat Malaysia ke IS di Syria sudah menurun juga selepas kejatuhan Wilayah Mosul selain kematian Wandy,” katanya kepada pemberita hari ini.

Dalam perkembangan berkaitan, Ayub berkata, faktor ramai pemimpin kanan IS yang terbunuh termasuk kematian Mohammad Wandi mengakibatkan penyertaan warga Malaysia sudah menurun.

Beliau tidak menolak kemungkinan terdapat dua atau tiga orang lagi seperti Muhammad Rafi Udin, Aquil Wan Zainal Abidin dan Muhammad Zahar yang masih berhubung dan aktif kerana mereka mengeluarkan kenyataan Malaysia masih merupakan sasaran serangan mereka.

“Itu yang menyebabkan kita mengiatkan pemantauan dengan meminta bahagian perisikan memastikan sebarang percubaan menghasut, merancang ataupun mengarahkan orang Malaysia membuat serngan dapat dikesan dan dipatahkan segera,” tegasnya lagi.

Justeru katanya, PDRM sentiasa memantau dan mengambil langkah proaktif dalam mematahkan segala usaha dan rancangan anggota militan IS ke atas negara ini.

Selain itu, beliau juga menjelaskan bahawa setakat ini tiada sebarang insiden melibatkan serangan secara individu (lone move) yang dikesan di negara ini.

“Lone move  tiada kaitan dengan sesiapa pun, dia tidak bercakap atau bercampur dengan orang lain dan bertindak secara individu tanpa arahan.

“Kebanyakan kes IS yang kita gagalkan setakat ini adalah semuanya IS yang mana dia mendapat arahan dan inout jihad serta panduan dari majalah atau rakyat Malaysia di Syria.

“Jadi segala tindakan militan tidak bersandarkan serangan secara individu, ia didorong ideologi IS Syria dan setakat ini tiada serangan secara individu yang dilaporkan di sini,” ulasnya.- MalaysiaGazette