Presiden Majlis Olimpik Malaysia, Tan Sri Tunku Imran Tuanku Jaafar pada sidang media selepas Majlis Pelancaran Pusat Media Utama dan Pusat Penyiaran Antarabangsa sempena Sukan Sea Kuala Lumpur 2017 di Pusat Pameran dan Dagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC). foto SAFWAN MANSOR, 10 OGOS 2017

KUALA LUMPUR – Pihak berkuasa sedang menyiasat punca menyebabkan 16 atlet Malaysia yang menyertai pelbagai acara di Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (KL2017) mengalami keracunan makanan.

Presiden Persekutuan Sukan Asia Tenggara (SEAGF) Tan Sri Tunku Imran Tunku Ja’afar bagaimanapun berkata hanya seorang daripada mereka yang dimasukkan ke wad Hospital Kuala Lumpur dan dijangka keluar hospital hari ini.

Kontinjen Malaysia berpangkalan di sebuah hotel terkemuka di Jalan Ampang.

Beliau berkata pegawai dari Jawatankuasa Pengelola Sukan SEA Malaysia , Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan Institut Sukan Negara sedang meneliti insiden itu.

Tunku Imran, yang juga Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM) tidak menolak kemungkinan insiden itu berpunca daripada makanan luar yang diambil atlet.

“Menu adalah standard di kesemua hotel… ia adalah menu atlet dan bergantung kepada sukan dan keperluan diet atlet,” beliau memberitahu satu sidang akhbar di pusat media KL2017 di sini hari ini.

Kontinjen tuan rumah Malaysia berjumlah 1,234 orang termasuk 844 atlet dalam edisi ke-29 sukan serantau itu yang berlangsung dari 19 hingga 30 Ogos.

Sementara itu, Setiausaha Kehormat MOM, Datuk Low Beng Choo berkata maklumat lanjut mengenai insiden ini akan dikeluarkan selepas menerima laoran penuh daripada pihak berkuasa berkaitan.

“Agak sukar untuk mengenal pasti punca (keracunan makanan) kerana atlet mewakili sukan berbeza dan pergi ke venue yang berlainan. Kerana itulah kenapa kami perlu berhati-hati kerana kami tidak mengetahui puncanya,” katanya.

Dalam isu lain, Tunku Imran berkata mereka yang dipertanggungjawabkan dalam soal keselamatan perlu lebih berjaga-jaga di dalam acara di mana ketegangan adalah tinggi dengan kecenderungan kelakuan penonton yang tidak terkawal.

Mengenai aduan isu pengangkutan KL2017, beliau berkata:” Kami tahu pengangkutan tidak sempurna, Ia perlu menjadi baik atau lebih baik.”- BERNAMA