Othman Mustafa

KUALA LUMPUR – Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) kesal dengan kenyataan kontroversi seorang individu yang dikenali sebagai Dr. Mun’im Sirry dari University of Notre Dame yang menjadi panel dalam program anjuran Islamic Renaissance Front (IRF) dan G25.

Ketua Pengarahnya, Tan Sri Othman Mustapha berkata, pihaknya difahamkan, Mun’im mendakwa al-Quran tidak relevan dan kitab itu sebenarnya turun di Mesopotamia.

Katanya, kenyataan itu adalah salah dan bercanggah dengan pandangan jumhur ulama.

“Beliau juga seolah-olah cuba untuk mempromosi tafsiran baru kepada kebenaran kitab suci al-Quran,” katanya dalam kenyataan kepada MalaysiaGazette di sini malam ini.

Pada forum yang diadakan di ibu negara pada 19 Ogos lalu, Mun’im dilaporkan mendakwa, tafsiran tradisional berhubung dengan ayat al-Quran adalah suatu justifikasi bagi ISIS untuk melakukan jenayah.

“Tafsir tradisional mengenai al-Quran, mengenai ayat-ayat jihad, itu sebenarnya menjustifikasi (apa yang dibuat) oleh ISIS. Ya, mereka persecute,” kata Mun’im yang turut berpendapat terdapat kontradiksi dalam al-Quran.

Menurut Othman, JAKIM melihat isu itu sebagai satu percubaan oleh IRF dan G25 untuk membawa masuk ke negara ini idea liberal yang sesat.

“Perbuatan ini sangat bahaya dan menyentuh sensitiviti umat Islam di negara ini. Kita memandang serius perkara ini dan perlu ada penyelarasan dengan pihak jabatan agama Islam negeri serta agensi lain yang berkaitan agar mana-mana pihak tidak sewenang-wenangnya membuat kenyataan menyalahi undang-undang dan amalan Islam yang diamalkan di negara ini,” katanya.

Katanya, tindakan tegas akan diambil berdasarkan undang-undang dan pihak penganjur akan dipanggil untuk memberi penjelasan.

“Semua pihak juga perlu ingat negara ini majoritinya umat Islam yang berpegang teguh  kepada akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah dan kedudukan Islam dilindungi di bawah Perlembagaan Persekutuan.

“Malah kita juga perlu sama-sama menjaga keharmonian beragama, di samping memelihara Kedaulatan agama Islam di Malaysia,” ujar beliau. – MalaysiaGazette