Perbicaraan kes rasuah membabitkan bekas Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng dan ahli perniagaan Phang Li Koon akan disebut semula pada 30 Julai depan.
Perbicaraan kes rasuah membabitkan bekas Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng dan ahli perniagaan Phang Li Koon akan disebut semula pada 30 Julai depan.

PULAU PINANG – Meskipun tempoh 48 jam diberikan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk Guan Eng meminta maaf bakal berakhir hari ini, Ketua Menteri Pulau Pinang itu bagaimanapun belum bersedia memberi sebarang maklum balas mengenainya.

Dalam sidang akhbar di sini hari ini, Guan Eng menegaskan hanya mahu menjawab isu tambak laut yang dibangkitkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak semalam, sekali gus memberi bayangan tidak akan mengulas mengenai isu tuntutan maaf SPRM berkenaan.

“Hari ini saya hanya boleh jawab satu isu sahaja iaitu mengenai isu tambakan laut di perairan Pulau Pinang yang dibangkitkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, semalam,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Teknologi Jepun 2017, di sini hari ini.

Kelmarin, SPRM memberi tempoh 48 jam kepada Guan Eng untuk memohon maaf ekoran kenyataan `penahanan haram oleh SPRM’ yang dibuat beliau bagi merujuk kepada penahanan Exco Kerajaan DAP Pulau Pinang, Phee Boon Poh.

Menyifatkan kenyataan itu sebagai sesuatu yang serius dan berunsur fitnah, SPRM menegaskan tindakan undang-undang akan diambil sekiranya Guan Eng gagal berbuat demikian dalam tempoh ditetapkan.

Pada 12 Ogos lalu, Boon Poh yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Masyarakat Penyayang dan Alam Sekitar negeri ditahan reman selama lima hari bagi membantu siasatan SPRM berhubung operasi kilang habuk kayu haram di Kampung Sungai Lembu, Penanti di sini.

Bagaimanapun, tahanan reman Boon Poh itu serta dua individu pemilik kilang berkenaan dibatalkan Mahkamah Tinggi di sini pada 14 Ogos selepas mendapati bertentangan dengan Seksyen 117 (5) Kanun Prosedur Jenayah.

Dalam pada itu, Guan Eng mengakui terkejut dengan kenyataan Najib yang tidak akan menyokong cadangan tambak laut oleh Kerajaan DAP Pulau Pinang sekiranya terbukti menjejaskan penduduk dan alam sekitar.

Menurut beliau, cadangan projek itu ketika ini sedang dalam kajian oleh Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan menegaskan keputusan mengenainya seharusnya dibuat berdasarkan rundingan dan pandangan pakar. – MalaysiaGazette