Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berucap pada Majlis Pelepasan Terakhir Jemaah Haji di Kompleks Tabung Haji Kelana Jaya, Selangor. foto IQBAL BASRI, 27 OGOS 2017

KELANA JAYA – Malaysia menyambut baik langkah kerajaan Arab Saudi yang memberikan pra-pelepasan untuk pasport dan kastam di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Langkah itu, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi adalah simbol bahawa Raja Arab Saudi, Raja Salman Abdulaziz Al-Saud begitu sayang kepada rakyat dan negara Malaysia.

“Secara peribadi saya mengenai Raja Salman Abdul Aziz, bagaimana Baginda memberikan Malaysia keutamaan untuk tidak perlu ada pelepasan di Jabatan Imigresen (Arab Saudi).

“Duta (Arab Saudi) telefon saya mohon visa dengan segera kepada 20 orang pegawai pegawai imigresen mereka untuk berada di Kompleks Tabung Haji untuk cop pas ketibaan. Tidak ada di negara lain.

“Ertinya Raja Salman sayang kepada rakyat dan kepimpinan Malaysia. Itu diterjemahkan kepada rakyat Malaysia,” katanya ketika menyaksikan pelepasan sejumlah 438 jemaah haji Malaysia yang berlepas ke Mekah hari ini.

Khamis lalu, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berkata, inisiatif Arab Saudi yang memberikan pra-pelepasan bermakna ‘lampu hijau’ yang baik untuk jemaah haji Malaysia.

Ia membolehkan jemaah Malaysia untuk terus keluar dari lapangan terbang Jeddah atau Madinah tanpa pemeriksaan sebaik sahaja sampai ke destinasi.

“Orang meremehkan kenyataan Perdana Menteri berkenaan pelepasan jemaah Malaysia yang disediakan Arab Saudi. Selalunya kita meremehkan perkara terbaik untuk kita,” katanya.

Untuk rekod, Malaysia menjadi negara pertama yang dibenarkan untuk melakukan pra-pelepasan oleh kerajaan Arab Saudi. -MalaysiaGazette.