Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi (dua kiri) berbual bersama tetamu pada Konvensyen Pembangunan Luar Bandar 2017 di Hotel Seri Pasific, Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 28 OGOS 2017.

KUALA LUMPUR – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menyifatkan pengundi bandar mahu pun luar bandar adalah sama penting kepada kerajaan yang menekankan pembangunan seimbang untuk kedua-dua kelompok masyarakat itu.

Ahmad Zahid berkata, kerajaan tidak boleh semata-mata terlalu bergantung kepada pengundi luar bandar sahaja kerana hakikat sebenarnya pengundi bandar juga sama pentingnya kerana 60 peratus pengundi terdiri daripada mereka yang tinggal di bandar tetapi merupakan pengundi di luar bandar.

“Ertinya, biar pun mereka mengundi di luar bandar tetapi mereka tinggal di bandar. Hanya 40 peratus sahaja pengundi di luar badar, 60 peratus pula di bandar tetapi (mereka) undi di luar bandar.

“Ertinya sikap mentaliti, gelagat, dan perlakuan bandar dikhuatiri menterjemahkan bentuk dokongan kepada parti ketika hari besar (pilihan raya) apabila kuasa rakyat pada hari itu adalah kuasa keramat,” kata beliau semasa Konvensyen Pembangunan Luar Bandar anjuran Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) di Hotel Pan Pacific hari ini.

Jelasnya, kerajaan perlu mencari jalan menterjemahkan sebarang tindakan yang seimbang sama ada kepada pengundi bandar mahu pun luar bandar.

“Bagaimana kita menterjemahkan komitmen, iltizam kerajaan itu dengan ambil kepedulian masyarakst di luar bandar, adakah khuatir yang sama kepedulian turut diterjemahkan dalam masyarakat bandar?

“Adakah bezanya pengundi luar bandar dengan pengundi bandar…. kerana satu undi tetap satu undi, nilainya sama,” ujarnya lagi.

Bagaimanapun, Ahmad Zahid menggesa supaya kerajaan sedia ada dipertahankan dan mengambil iktibar daripada kejatuhan beberapa kerajaan negeri kepada pembangkang yang mana akhirnya mereka mendakwa segala kemajuan dibawa mereka, walhal kerajaan terdahulu yang berusaha keras memajukan negeri tersebut.

“Bila negeri itu maju yang dulunya kita yang membangunkan, kalau terlepas ke tangan orang lain ia adalah kerana tiada keterima kasihan dan tiada rasa kesyukuran dari apa yang kita lakukan, apakah makna pemegangan jawatan kita dalam organisasi politik jika jatuh ke tangan orang lain.

“Kita mesti memegang tampuk pemerintahan tapi pada waktu yang sama kita perlu mengambil kepedulian terhadap mereka yang harus diberikan kepedulian,” katanya.

Terdahulu pada majlis sama, Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata konvensyen yang dianjur hari ini bertujuan untuk mendapatkan pandangan, input dan aspirasi semua pihak berhubung penggubalan Dasar Pembangunan Luar Bandar-Transformasi Nasional 2050 (DPLB-TN50).

“Konvensyen ini merupakan salah satu platform utama bagi Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) mendengar pandangan semua pihak berkepentingan dalam merencana agenda pembangunan luar bandar untuk tempoh 30 tahun akan datang,” ujarnya.

Konvensyen ini merupakan kemuncak kepada beberapa siri libat urus yang dianjurkan KKLW ke arah pembangunan DPLB-TN2050. – MalaysiaGazette