Othman Mustafa

KUALA LUMPUR – Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin Putrajaya akan menganjurkan program World #Quran Hour sempena Hari Kemerdekaan ke-60 Rabu ini.

Program bermula jam 11 pagi itu anjuran kedua masjid berkenaan di bawah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).

Menurut Ketua Pengarah JAKIM, Tan Sri Othman Mustapha, ia sebagai menyokong program World #Quran Hour dan Merdeka #QuranHour yang akan diadakan di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) serta Dataran Merdeka di sini, pada 31 Ogos ini.

Katanya, JAKIM selaku penaung program World #Quran Hour dan Merdeka #QuranHour menyokong penganjuran program berkenaan serta berbesar hati kerana Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin telah dipilih sebagai lokasi Perdana Malaysia #QuranHour.

“Program World #Quran Hour ini bertujuan memberi galakan kepada umat Islam agar sentiasa membaca al-Quran seterusnya memahami dan mengamalkannya sebagai panduan kehidupan.

“Pada majlis kali ini, dalam ruang yang terhad, urusetia telah bersetuju untuk memilih Surah Yaasin untuk dibaca serta ditadabbur bersama maknanya,” katanya dalam kenyataan kepada media di sini, hari ini.

Othman berharap, usaha itu akan mempertingkatkan kefahaman umat Islam dalam memahami serta menekuni al-Quran.

“Surah Yaasin ini adalah salah satu surah dalam al-Quran yang sering dibaca umat Islam di Malaysia, maka tadabbur makna Surah Yaasin diharapkan dapat mempertingkatkan lagi kefahaman umat Islam ketika membacanya,” katanya.

Selain itu, kata beliau, penganjuran kali ini juga lebih menarik kerana menggabungkan program bersama sempena bulan Ogos sebagai Bulan Kemerdekaan.

“Kemeriahan kemerdekaan diserikan dengan penganjuran World #Quran Hour dan Merdeka #QuranHour yang sekaligus menjadi suntikan semangat keislaman dan patriotik dalam sanubari masyarakat,” katanya.

Beliau berkata lagi, Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin juga mengadakan program Semarak Arafah yang dimulai qiamullail sehingga majlis berbuka puasa sunat Arafah bagi memberi peluang kepada masyarakat turut sama melaksanakan ibadah untuk yang tidak berpeluang menunaikan ibadah haji.

“Saya harap program ini berjalan lancar seperti yang telah dirancang. Saya juga menyeru kepada pihak penganjur dapat memastikan pengisian dalam program ini sentiasa selari dengan tuntutan syariah,” ujar beliau. – MalaysiaGazette