KUALA LUMPUR – Tempoh 48 jam yang diberikan kepada Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng berhubung kenyataan berbaur fitnah terhadap Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sudah berakhir semalam.
Sehubungan itu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Dzulkifli Ahmad berkata, pihaknya akan bermesyuarat pada 4 September ini untuk meneliti bentuk tindakan yang bakal diambil ke atas Guan Eng mengikut peruntukan undang-undang.
“Selepas dia mengeluarkan kenyataan berbaur fitnah, kita memberi tempoh 48 jam kepadanya untuk memohon maaf kepada SPRM, tetapi tempoh itu sudah berakhir tanpa sebarang permohonan maaf.
“Isnin ini kita akan bermesyuarat dengan pihak pendakwaan dan peguam membincangkan tindakan yang bakal diambil,” katanya pada majlis Ikrar Anti Rasuah di Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasu dan Kepenggunaan di Putrajaya, hari ini.
Jumaat lalu, SPRM mendakwa kenyataan Guan Eng bahawa penahanan Exco Kerajaan Negeri Pulau Pinang, Phee Boon Poh sebagai ‘haram’ menjurus kepada fitnah.
SPRM dalam satu kenyataan merujuk kepada laporan berita yang disiarkan sebuah akhbar berbahasa Inggeris memberitahu, selepas meneliti audio dan video pertemuan Ketua Menteri itu dengan pihak media pada 24 Ogos lalu di Komtar, mendapati Guan Eng dengan jelas telah menggunakan perkataan ‘penahanan haram oleh SPRM’ apabila menjawab soalan wartawan berhubung isu kilang haram di Sungai Lembu.
“SPRM memandang serius kenyataan itu dan beranggapan ia adalah fitnah jahat yang bertujuan untuk memburuk-burukkan nama baik dan mencemarkan serta menjejaskan reputasi SPRM,” menurut kenyataan suruhanjaya itu pada Jumaat.
Dzulkifli berkata, kenyataan Guan Eng itu adalah fitnah terhadap agensi kerajaan yang tidak mempunyai sebarang kepentingan dan memandang serius perkara itu. – MalaysiaGazette
















