Pemian-pemain Malaysia kelihatan kecewa selepas tumpas kepada Thailand 1-0 pada perlawanan akhir bola sepak Sukan SEA KL 2017 di Stadium Shah Alam. foto SAFWAN MANSOR, 29 OGOS 2017

SHAH ALAM – Skuad bola sepak merencatkan prestasi cemerlang Malaysia dalam Sukan SEA Ke-29 Kuala Lumpur 2017 (KL2017) apabila gagal membawa balik ‘ibu pingat emas’ selepas tewas kepada Thailand pada aksi akhir di Stadium Shah Alam, malam tadi.

Sebaliknya, negara Gajah Putih itu mencipta sejarah apabila mencatat hatrik emas kali ketiga berturut-turut Sukan SEA dengan kemenangan tipis 1-0.

Skuad negara memulakan perlawanan di hadapan 80,000 penonton dengan aksi garang namun ketiadaan penyudah menyebabkan gawang Thailand sukar dibolosi.

Pemain Malaysia, Muhammad Jafri Firdaus Chew (tengah) melepasi 2 pertahanan Thailand pada aksi perlawanan akhir bola sepak Sukan SEA KL 2017 di Stadium Shah Alam. foto SAFWAN MANSOR, 29 OGOS 2017

Malah hujan yang mula turun sedikit sebanyak mengganggu rentak permainan kedua-dua pasukan akibat padang yang licin.

Namun sorakan Thailand UltrasNTourKL bergema apabila pasukan pelawat mendapat gol hasil jaringan sendiri minit ke-39 selepas penjaga gawang negara Muhammad Haziq Nadzli tertumbuk bola hasil sepakan sudut.

Perlawanan separuh masa pertama berkesudahan Thailand mendahului 1-0.

Bersambung ke babak kedua, anak buah Datuk Ong Kim Swee tampil lebih agresif untuk mencari gol penyamaan namun masih belum menemui penyudah yang baik biarpun beberapa kali peluang hadir di kawasan penalti.

Thailand pula menampilkan aksi berhati-hati dan bermain secara bertahan hingga ke wisel penamat sekaligus mengecewakan impian Malaysia

Untuk rekod, kejayaan Thailand edisi KL2017 ini menyaksikan koleksi emas ketujuh keseluruhannya bermula 2001, 2003,2005,2007,2013 dan 2013.

Malaysia kali terakhir meraih pingat emas dua kali berturut-turut pada pada edisi 2009 dan 2011. – MalaysiaGazette