Saksi prosiding, P. Kanosan Pothinker di Mahkamah Rayuan untuk memberi keterangan berkaitan prosiding siasatan kes kerugian akibat urus niaga mata wang asing oleh Bank Negara Malaysia di Istana Kehakiman, Putrajaya. foto FAREEZ FADZIL, 29 OGOS 2017

KUALA LUMPUR – Seorang saksi, P. Kanosan A/L Pothinker memberitahu Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat kes kerugian Bank Negara Malaysia (BNM) bahawa ‘ada pihak atasan’ mengarahkan supaya beliau tidak campur tangan dalam sebarang urusniaga tersebut.

Kanosan, 78, yang memegang jawatan Pengarah dan Pembantu Ketua Audit untuk Badan Statutori Persekutuan dan Negeri di Pejabat Ketua Audit berkata, arahan itu diberitahu kepadanya oleh seorang wakil di Pejabat Peguam Negara (AGC), Tan Sri Ainum Mohamed Saaid ketika beliau meminta penjelasan mengenai Seksyen 31, Akta Bank Negara Malaysia 1958 berhubung urusniaga mata wang asing tersebut.

“Satu mesyuarat diadakan di pejabat dan Seksyen 31 termasuk syarat-syaratnya dibincangkan.

“Juruaudit yang mengendalikan bahagian Audit di Bank Negara membawa ke mesyuarat satu salinan sehari urusniaga forex berjumlah lebih RM50 juga, jika seingat saya. Kami meminta nasihat perundangan sama ada urusniaga forex yang dibuat Bank Negara mengikut undang-undang atau sebaliknya,” kata beliau semasa memberi keterangan di Istana Kehakiman Putrajaya pagi ini.

Untuk rekod, Ainum juga merupakan Peguam Negara pada 2009.

Menurut Kanosan, semasa mesyuarat itu Ainum mengatakan bahawa urusniaga forex itu dibuat tidak mengikut proses dan tidak mengikut syarat yang diperuntukan bawah Akta Bank Negara 1958 dan berjanji jawapan bertulis akan diberikan dalam masa terdekat.

Selepas itu Kanosan memberitahu, perkara tersebut dimaklumkan kepada Ketua Audit tetapi jawapan bertulis yang dijanjikan oleh Ainum tidak pernah diterima.

“Saya menelefon Tan Sri Ainum dan saya diberitahu oleh beliau dan seingat saya ‘orang atasan cakap jangan campur tangan’ dan saya dijanjikan maklum balas, dan menerima nasihat bertulis daripada Pejabat Peguam Negara mengatakan bahawa isu tersebut wajar diselesaikan antara ketua audit dan Gabenor Bank Negara,” katanya lagi yang tidak memberitahu siapa individu ‘orang atasan’ itu.

Nasihat bertulis itu dihantar kepada Ketua Audit dan salinannya juga dihantar kepada Gabenor, kata Kanosan.

Kemudiaannya, Kanosan berkata Jawatankuasa Audit diberi taklimat berhubung isu tersebut yang juga sudah dipersetujui oleh Bank Negara tetapi ketika beliau dimarahi oleh pengerusi jawatankuasa, Tunku Ahmad Tunku Yahya kerana membangkitkan berhubung urusniaga forex tersebut.

Kanosan kemudiaan bersara pada 1992 dan pada 1993. Beliau menerima panggilan dari Ketua Audit, Tan Sri Ishak Tadin yang memberitahunya Bank Negara mengalami kerugian wang yang besar akibat daripada urusniaga pertukaran wang asing tersebut.

“Beliau memberitahu saya tidak dapat memberitahu jumlah sebenar kerana saya bukan pegawai atasannya,” katanya.

Prosiding hari ini merupakan sesi ketiga RCI bagi menyiasat kes kerugian Bank Negara Malaysia (BNM) melalui kegiatan perdagangan mata wang asing sekitar 1990-an.

RCI dijangka dapat merungkai isu-isu yang membelengu negara sejak 23 tahun lalu di mana ketika itu, negara mengalami kerugian sebanyak AS$10 bilion dalam skandal forex dan kesannya masih dialami sehingga kini.

Bidang kuasa suruhanjaya siasatan itu adalah bagi menentukan kesahihan dakwaan mengenai kerugian akibat urus niaga pertukaran mata wang asing yang dialami BNM sekitar tahun 1990-an serta implikasinya kepada ekonomi negara.

Selain itu, ia juga bagi menentukan penglibatan BNM dalam aktiviti urus niaga mata wang asing yang menyebabkan kerugian tersebut adalah bertentangan dengan Ordinan Bank Pusat 1958 atau mana-mana undang-undang yang berkaitan. – MalaysiaGazette