KUALA LUMPUR – Sorakan kumpulan penyokong bola sepak Malaysia atau lebih dikenali sebagai Ultras Malaya akan membuat bantahan di Stadium Shah Alam malam ini sebagai protes.
Menurut satu kenyataan yang dimuatnaik dalam Facebook UM’07, keputusan itu dibuat sebagai solidariti kepada penyokong yang didakwanya menjadi mangsa kegagalan sistem penjualan tiket aksi perlawanan akhir Sukan SEA ke-29 antara Malaysia dengan Thailand.
“Ultras Malaya secara rasmi tidak akan membuka curva (memenuhi tempat duduk) untuk perlawanan akhir malam ini sebagai tanda solidariti buat komrad dan juga penyokong lain yang datang dari jauh mahu pun dekat, yang telah bersusah payah, berhempas pulas untuk mendapatkan tiket tetapi tidak dapat memperolehinya kerana kelemahan sistem penjualan tiket dari pihak penganjur,” kata gerakan itu.
Jelas gerakan itu, isu penjualan tiket bukan perkara baharu dalam bola sepak di negara ini.
“Kekalutan akibat kelemahan sistem penjualan sering berlaku baik dalam Liga Malaysia atau perlawanan antarabangsa melibatkan pasukan negara bermain di separuh akhir atau perlawanan akhir.
“Sampai bila kita selaku penyokong nak kena hadap benda ini? Yang Berhormat sana sini sibuk dengan tiket percuma setiap kali semi final dan final atau perlawanan besar.
“Orang berjawatan berpangkat dengan mudah mendapat akses kepada tiket, sedangkan kita selaku penyokong diperlakukan sedemikian rupa, walhal kita adalah antara nadi kepada sukan ini,” katanya. – MalaysiaGazette
















