KUALA LUMPUR – Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dan Majlis Sukan Negara (MSN) sepatutnya tidak bersikap defensif dalam menangani isu perancangan Datuk Mohd Azizulhasni Awang ke Sukan Olimpik Los Angeles 2028 (LA28).
Sebaliknya, ahli akademik berpendapat kedua-dua pihak tersebut sepatutnya segera memperbaiki kelemahan birokrasi yang sedang berlaku.
Jelas Pensyarah Kanan Fakulti Sukan dan Sains Eksesais Universiti Malaya, Dr Mohamed Nashrudin Naharudin, kelewatan memberikan kepastian kepada atlet bertaraf Olimpik boleh menjejaskan perancangan persiapan terutama membabitkan latihan, pertandingan dan laluan kelayakan.
“Dalam sukan berprestasi tinggi, masa adalah sumber yang amat bernilai. Perancangan latihan, periodisasi, pertandingan, pemulihan, sokongan sains sukan, pemakanan, perubatan sukan, jurulatih, logistik dan penajaan semuanya memerlukan kepastian lebih awal.
“Atlet tidak boleh merancang prestasi pada tahap elit berdasarkan prinsip ‘tunggu dahulu sehingga keputusan dibuat’,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Katanya, jika benar seperti dijelaskan MSN bahawa beberapa pertemuan sudah diadakan dan proses kelulusan sedang berjalan, persoalannya mengapa Azizulhasni perlu menunggu lebih dua bulan untuk mendapat kepastian mengenai hala tuju programnya.
Menurutnya, perkara itu lebih kritikal apabila membabitkan persiapan ke Olimpik kerana laluan kelayakan, ranking dan penyertaan dalam pertandingan perlu dirancang secara strategik.
Beliau berkata, isu sebenar bukan sekadar sama ada MSN menyokong Azizulhasni atau sebaliknya, tetapi mengenai kemampuan sistem pengurusan sukan negara membuat keputusan yang tepat, pantas dan boleh dilaksanakan ketika diperlukan.
“Jika beliau merasakan terdapat kelemahan dari segi proses dan kecekapan, perkara itu sepatutnya dilihat sebagai maklum balas pengguna, bukannya sesuatu yang perlu dijawab dengan pendekatan defensif,” katanya.
Mohamed Nashrudin berkata, pengalaman lebih dua dekad Azizulhasni membawa nama negara sepatutnya menjadikan pandangan beliau sebagai input penting untuk memperbaiki sistem pembangunan sukan negara.
Dalam pada itu, beliau mengingatkan supaya kelemahan dari segi masa, koordinasi dan kepastian tidak berulang seperti episod berkaitan penganjuran Sukan Malaysia (SUKMA) Selangor 2026.
Menurutnya, isu sokongan kewangan Persekutuan terhadap penganjuran SUKMA sebelum ini turut menimbulkan persoalan apabila Kerajaan Negeri Selangor dilaporkan masih belum menerima maklum balas mengenai suntikan dana khusus daripada KBS pada April lalu.
“Akhirnya, perkara tersebut berkembang menjadi polemik antara Kerajaan Negeri Selangor dan Kerajaan Persekutuan.
“Saya tidak mahu kita melihat pola yang sama berulang dalam pengurusan atlet elit,” katanya lagi.
Beliau berkata, keputusan yang lambat dan ketidakcekapan pengurusan dalam sukan berprestasi tinggi akhirnya boleh merugikan atlet serta negara.
“Menteri Belia dan Sukan wajar berperanan dengan lebih berkesan, cekap, lebih berani dan tentunya perlu mempunyai aspirasi yang kuat terhadap tugasnya,” katanya.
Semalam, Azizulhasni tampil dengan penjelasan sembilan muka surat bagi memperincikan pelbagai perkara berkaitan sukan berbasikal dan misi kelayakan Malaysia ke LA28.
Antara persoalan utama yang dibangkitkan jaguh berbasikal trek negara itu ialah statusnya dalam misi LA28 apabila menegaskan isu sebenar bukan mengenai sama ada mahu meneruskan kayuhan atau tidak, tetapi sama ada Malaysia masih memerlukan khidmatnya untuk memburu tiket ke temasya berkenaan.
Kemudian, MSN dilaporkan menyangkal dakwaan Azizulhasni yang mengatakan badan induk itu tidak menghiraukan perancangannya, sebaliknya mendedahkan pertemuan sudah pun dibuat bersama bagi membincangkan keperluan untuk ke LA28.
MSN berkata, pihaknya tidak pernah mengabaikan atlet kelahiran Dungun, Terengganu itu kerana sentiasa memberikan bantuan terutamanya dari segi penggunaan fasiliti sukan serta sokongan sains sukan. – MalaysiaGazette
















