KUALA LUMPUR – Ribuan rakyat dari pelbagai bangsa termasuk pelancong asing menyaksikan sambutan Hari Kemerdekaan 2017 yang diadakan dengan penuh meriah di Dataran merdeka pagi ini.
Sambutan tersebut yang bermula pukul 8 pagi melibatkan lebih 17,000 peserta daripada pelbagai peringkat umur.
Perarakan turut melibatkan lebih 200 aset pertahanan darat dan udara milik negara.
Cuaca mendung pada awal pagi tidak menghalang orang ramai untuk terus membanjiri Dataran Merdeka bagi menyaksikan detik-detik bersejarah sambutan Hari Kemerdekaan negara kali ke-60.
Kontinjen atlet-atlet Sukan SEA 2017 yang dianggotai oleh kira-kira 300 orang menarik perhatian orang ramai dan menerima tepukan gemuruh sebaik sahaja melintasi sepanjang jalan di hadapan Dataran Merdeka. – MalaysiaGazette