Adly Zahari menyampaikan cek sumbangan faedah GHU kepada salah seorang veteran ATM pada majlis penyampian GHU di Alor Gajah, Melaka, semalam.

ALOR GAJAH – Seramai 38 veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang hilang upaya dan mengalami kecederaan ketika bertugas tidak dapat menahan sebak apabila menerima skim faedah Ganjaran Hilang Upaya (GHU) daripada Kementerian Pertahanan di sini semalam.

Ia adalah pertama kali mereka menerima faedah ganjaran berjumlah antara RM6,000 hingga RM72,000 itu.

Seorang veteran ATM, Yaakob Hassan, 73, yang cacat tangan kanan ketika mengikuti Operasi Gubir menentang pengganas pada 1976 menyifatkan wang ganjaran berjumlah RM50,000 yang diterimanya sebagai hadiah untuk keluarganya yang banyak memberi sokongan ketika berkhidmat sebagai anggota tentera.

Yaakob Hassan

Yaakob Hassan katanya, sumbangan itu juga sebagai pengiktirafan daripada kerajaan kepada golongan bekas perajurit yang banyak berkorban menentang pengganas komunis suatu ketika dahulu.

“Saya bersyukur dan berterima kasih kepada kerajaan yang prihatin terhadap nasib bekas tentera yang berjuang bermatian mempertahankan kedaulatan tanah air,” katanya.

Yaakob yang berasal dari Pendang, Kedah berkata demikian selepas majlis penyerahan sumbangan Faedah GHU di Dewan Penyayang, Pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah Alor Gajah di sini semalam.

Penyerahan sumbangan disempurnakan Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari.

Turut hadir, Ketua Pengarah Jabatan Hal Ehwal Veteran (JHEV) ATM, Mejar Jeneral Dato’ Haji Semaon bin Haji Marjuki, Pengarah JHEV ATM cawangan Negeri Sembilan dan Melaka, Mejar Muhammad Zarifi Tumin, Leftenan Kolonel Azwan Azwadi bin Jamian (Bersara) -Ketua Pegawai Operasi Yayasan Veteran ATM , Jabatan Hal Ehwal Veteran (JHEV) dan persatuan-persatuan ATM Negeri Melaka.

Program anjuran JHEV itu melibatkan veteran ATM Zon Tengah iaitu Melaka dan Negeri Sembilan.

Mereka terdiri daripada bekas tentera yang cedera ketika bertugas sama ada semasa melaksanakan operasi atau latihan berisiko tinggi.

Sementara itu, seorang lagi penerima, Hussein Bahadin, 76, yang cacat kaki kiri akibat terkena jerangkap samar dalam Operasi Gubir 1976 mahu kerajaan meneruskan skim faedah itu kepada golongan bekas perajurit.

Hussein Bahadin

Akibat kecacatan itu, Hussein yang bersara dengan pangkat Pegawai Waran 2 di Kem Sungai Udang menerima faedah GHU sebanyak RM30,000.

Bapa kepada enam anak dan memiliki 14 cucu itu berkata, golongan veteran ATM yang senasib dengannya memerlukan keprihatinan daripada kerajaan untuk meneruskan kehidupan.

“Hari ini adalah hari yang amat bersejarah untuk saya kerana menerima sumbangan yang sangat bermakna buat diri saya,” katanya yang berasal dari Muar, Johor.

Seorang lagi penerima, Manmohan Singh A/L Jit Singh menerima faedah GHU sebanyak RM24,000 kerana mengalami kecederaan di kaki akibat terkena tembakan pengganas komunis dalam serang hendap di Raub, Pahang pada 1987.

Manmohan a/l Jit Singh

Kecederaan itu bagaimanapun tidak mematahkan semangatnya untuk terus berkhidmat sebagai anggota tentera sebelum bersara sebagai sarjan pada 2001.

“Saya merasa seperti mati hidup semula selepas cedera ditembak oleh pengganas komunis dalam serangan hendap itu,” katanya.

Dia merancang untuk menggunakan wang ganjaran tersebut untuk keperluan ahli keluarganya.

Dalam pada itu, Adly ketika ditemui selepas majlis berkenaan berkata, seramai 1,825 veteran ATM dikenal pasti mengalami hilang upaya di seluruh negara termasuk yang cedera semasa melaksanakan tugasan.

Bagi tujuan itu, kata beliau, kerajaan memperuntukkan sebanyak RM15 juta untuk disalurkan kepada golongan terbabit.

“Kita akan memastikan semua penerima yang layak akan menerima faedah GHU ini sebelum bulan Ramadan ini,” katanya. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast