PERMATANG PAUH – Malaysia perlu menghapuskan undang-undang warisan penjajah bagi memaknai erti sebenar kemerdekaan, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Anwar berkata, Malaysia adalah negara merdeka dan berdaulat yang perlu menentukan sendiri masa depan, sistem serta hala tujunya tanpa ditentukan kuasa asing.
“Undang-undang warisan penjajah mesti dihapuskan supaya negara ini memaknai erti kemerdekaan,” katanya ketika berucap pada program Sahabat Madani 2026 sempena Ambang Merdeka di Universiti Teknologi MARA (UiTM) Permatang Pauh di sini hari ini.
Beliau berkata, kemerdekaan perlu difahami berdasarkan sebab rakyat menolak penjajahan, iaitu tidak mahu negara dikuasai kuasa asing serta kekayaan negara dirompak dan dibawa keluar.
“300 tahun kita dihina. Yang tentukan itu Portugis. Bukan orang Melayu, orang Cina, orang India tetapi orang Belanda, British, Jepun. Mereka tentukan untuk kita.
“Kita tidak mahu sistem mereka menentukan masa depan kita kerana kita ada agama, budaya jadi kita harus tentukan,” katanya.
Dalam pada itu, Anwar berkata, golongan muda perlu diberikan ruang untuk menyuarakan pandangan termasuk dalam soal yang membabitkan universiti.
Beliau berkata, kebebasan bukan bermaksud seseorang boleh melakukan apa sahaja kerana Malaysia tetap sebuah negara berasaskan undang-undang.
“Bagi dia ruang. Dia salah, tegur dia. Dia pukul orang, ada undang-undang. Bukan makna kebebasan itu diberi kebebasan tak nak terbatas. Negara ini negara undang-undang.
“Tapi saya tak setuju tambah undang-undang untuk menyekat dan menakutkan manusia. Kerana apa? kerana negara ini negara merdeka,” katanya.
Mengulas lanjut, Anwar berkata, dalam usaha membangunkan negara, generasi muda perlu menguasai ilmu dan teknologi baharu termasuk kecerdasan buatan (AI), digitalisasi serta meneroka bidang baharu.
Katanya, golongan muda juga perlu mempunyai keberanian, ketegasan, kefahaman terhadap budaya serta kasih kepada sesama manusia bagi mengangkat martabat Malaysia.
“Sementara kita terpaksa menggapai yang di langit, kita mesti dan wajib mengakar ke bumi. Mengakar ke bumi kerana kita orang beragama… nilai kemanusiaan ada.
“Jadi anak-anak, mari kita sambut kemerdekaan dengan rasa bangga, syukur, dan dengan tekad untuk bawa perubahan yang bermakna.
“Kalau semua anak-anak muda tekad begitu, ya, kita akan jayakan,” katanya. – MalaysiaGazette
















