MELAKA – Baru 30 minit dibebaskan dari Sekolah Henry Gurney, selepas menjalani hukuman lebih dua tahun atas kesalahan merogol adiknya, seorang pemuda sekali lagi berdepan pertuduhan melakukan amang seksual fizikal dan cubaan merogol adiknya yang lain.
Lebih jijik, pemuda berusia 21 tahun yang merupakan anak sulung daripada empat beradik itu memberi alasan sudah lama tidak ‘bersama’ sehingga tergamak menjadikan darah daging sendiri tempat memuaskan nafsunya.
Tertuduh yang tidak bekerja bagaimanapun mengaku tidak bersalah sebaik sahaja dua pertuduhan itu dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Raja Noor Adilla Raja Mahyaldin di Mahkamah Sesyen Ayer Keroh, di sini hari ini
Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa telah melakukan amang seksual fizikal dengan cara mencium, meraba dan menghisap payudara kanak-kanak perempuan berumur 15 tahun.
Bagi pertuduhan kedua, tertuduh telah melakukan perbuatan sama dengan cara menarik seluar dan menyandarkan badan terhadap mangsa sama.
Kedua-dua kejadian itu berlaku di dalam sebuah rumah di Kampung Umbai Merlimau, dalam daerah Jasin, Melaka kira-kira jam 1 tengah hari 6 Jun lalu dan 9.30 malam 20 Ogos lalu.
Kedua-dua kesalahan itu didakwa di bawah Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang mana jika disabitkan kesalahan boleh dikenakan hukuman pemenjaraan maksimum 20 tahun dan boleh juga dikenakan sebatan.
Difahamkan, tertuduh anak sulung daripada empat beradik iaitu dua lelaki dan dua perempuan sebelum ini disabitkan kesalahan merogol adiknya yang ketika itu berusia 15 tahun dan dibebaskan dari Sekolah Henry Gurney pada jam 12.30 tengah hari 6 Jun lalu.
Terdahulu Timbalan Pendakwa Raya, Rif’ah ‘Izzati Abdul Mutalif mencadangkan jaminan RM15,000 bagi setiap pertuduhan serta memohon syarat tambahan supaya tidak mengganggu atau mendekati mangsa dan melapor diri di balai polis berhampiran setiap bulan.
Tertuduh yang tidak diwakili peguam bagaimanapun memohon jumlah jaminan rendah kerana baru sahaja keluar dari pusat pemulihan, selain membantu menambah ekonomi keluarga.
Hakim Raja Noor Adilla pada penghakimannya kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM9,000 dengan seorang penjamin bagi kedua-dua pertuduhan serta membenarkan syarat tambahan dipohon pihak pendakwaan.
Mahkamah menetapkan 29 September ini sebagai tarikh sebutan semula kes dan serahan dokumen. – MalaysiaGazette
















