Ratusan etnik Rohingya menunaikan solat sunat Aidiladha ketika tinjauan Lensa Malaysia Gazette di sekitar Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 01 SEPTEMBER 2017

KUALA LUMPUR – Umat Islam di seluruh negara hari ini menyambut Hari Raya Aidiladha dalam suasana penuh kesederhanaan namun meriah.

Sambutan Aidiladha dimulakan sejak awal pagi dengan umat Islam memenuhi masjid untuk menunaikan solat sunat Aidiladha.

Aidiladha merupakan hari kebesaran Islam di mana umat Islam di seluruh dunia memperingati pengorbanan Nabi Ibrahim AS dan Nabi Ismail AS dalam mentaati perintah Allah SWT.

Peristiwa pengorbanan Nabi Ibrahim AS ini merupakan tanda kebesaran Allah dan kekuatan iman kedua-dua Nabi Allah dalam mentaati suruhanNya.

Umat Islam disunatkan melakukan ibadat korban sebagai memperingati peristiwa Nabi Ibrahim AS yang diperintah Allah SWT agar menyembelih anaknya Nabi Ismail AS bagi membuktikan kepatuhan baginda terhadap suruhan Allah SWT dan peristiwa itu menjadi lambang pengorbanan teragung dalam sejarah manusia.

Mengambil keberkatan sambutan Hari Raya Korban, masyarakat Islam tidak lupa untuk menunaikan ibadah korban selepas selesai solat sunat Aidiladha apabila beratus-ratus ekor lembu, kerbau dan kambing dikorbankan di masjid-masjid, surau-surau, kampung-kampung dan juga taman-taman perumahan yang terletak di kawasan bandar.

DI KELANTAN, Yang di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V hari ini berangkat menunaikan solat Aidiladha di Masjid Al Sultan Ismail Petra, Kubang Kerian.

Seri Paduka tiba di masjid itu pada kira-kira 9.10 pagi dan baginda bersama kira-kira 5,000 jemaah kemudiannya menunaikan solat yang diimamkan oleh Imam Muda Abdul Bari Abdullah.

Khutbah pula disampaikan oleh Imam Tua 1 masjid itu Sabri Abdullah.

Selesai menunaikan solat itu, Seri Paduka berkenan beramah mesra dengan jemaah yang tidak melepaskan peluang untuk bersalaman dengan baginda.

Di NEGERI SEMBILAN, Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir dan Tunku Ampuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Aishah Rohani Tengku Besar Mahmud berkenan berangkat ke Masjid Diraja Tuanku Munawir, Seri Menanti, Kuala Pilah untuk menunaikan solat sunat Aidiladha.

Keberangkatan tiba baginda berdua pada kira-kira 8.25 pagi disambut ahli khariah masjid dan 1,500 rakyat jelata yang kemudiannya bersama-sama menunaikan solat sunat yang dipimpin Imam Masjid Diraja Tuanku Munawir, Syamil Izuddin Mohamed Yusof.

Selepas menunaikan solat, Tuanku Muhriz kemudiannya berangkat ke Makam Diraja untuk majlis bacaan tahlil yang dipimpin Mufti Negeri Sembilan Datuk Mohd Yusof Ahmad dan kemudiannya berkenan berangkat menyaksikan acara ibadah korban yang melibatkan sejumlah 20 haiwan ternakan.

Di MELAKA, Yang Dipertua Negeri Tun Mohd Khalil Yaakob dan Ketua Menteri Datuk Seri Idris Haron, menyertai kira-kira 10,000 umat Islam menunaikan solat sunat Aidiladha di Masjid Al-Azim di Bukit Palah.

Solat sunat berkenaan dipimpin Imam Besar Masjid Al-Azim Datuk Mohammad Hashim yang turut membacakan khutbah.

Sebelum menunaikan solat sunat, seluruh jemaah melafazkan takbir beramai-ramai mengagungkan kebesaran Allah.

Idris bersama barisan exco serta timbalan exco kerajaan negeri dijadual meninjau penyembelihan korban di beberapa buah masjid di Melaka termasuk di Masjid Al-Azim dan Masjid As-Syuhadah Kem Terendak, Sungai Udang.

Di KEDAH, Sultanah Kedah Tuanku Hajah Haminah berkenan menyertai kira-kira 2,000 jemaah menunaikan solat sunat Aidiladha di Masjid Zahir di Alor Setar.

Turut sama menunaikan solat sunat yang diimamkan Imam Besar Masjid Zahir Datuk Syeikh Roslan Abdul Halim itu ialah Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Kebajikan Masyarakat, Pertanian dan Asas Tani, Pembangunan dan Usahawan negeri Datuk Suraya Yaacob.

Selepas menunaikan solat sunat, jemaah tidak melepaskan peluang untuk bersalaman dengan Tuanku Hajah Haminah dan baginda turut berkenan memberikan duit raya kepada kanak-kanak sebelum berangkat pulang.

Di JOHOR BAHRU, Sultan Johor Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar menunaikan solat sunat Aidiladha bersama lebih 5,000 jemaah di Masjid Jamek Pasir Pelangi.

Baginda yang tiba pada kira-kira 8.20 pagi diiringi Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim serta anakanda-anakanda baginda yang lain.

Turut sama menunaikan solat ialah Menteri Besar Johor Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin; Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Azmi Rohani dan barisan exco kerajaan negeri.

Solat hari ini dipimpin imam besar negeri, Hanif Naim yang menyampaikan khutbah bertajuk “Korbanku Untuk Mu.”

Selesai solat, Sultan Ibrahim kemudian meluangkan masa bersalaman dengan jemaah sebelum berangkat pulang pada pukul 9.30 pagi.

Umat Islam di seluruh negara hari ini menyambut Hari Raya Aidiladha dalam suasana penuh kesederhanaan namun meriah.

DI SABAH, Yang Dipertua Negeri Sabah Tun Juhar Mahiruddin bersama isteri, Toh Puan Norlidah RM Jasni menunaikan solat sunat Aidiladha bersama lebih 5,000 umat Islam di Masjid Negeri, Kota Kinabalu.

Tinjauan Bernama di Masjid Bandaraya, Kota Kinabalu pula menyaksikan ribuan umat Islam turut menunaikan solat sunat Aidiladha di masjid berkenaan yang bermula kira-kira 7.30 pagi tadi.

Di SELANGOR, Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan menunaikan solat sunat Aidiladha bersama kira-kira 2,000 umat Islam di Masjid Tengku Ampuan Jemaah di Bukit Jelutong.

Baginda tiba di masjid berkenaan kira-kira pukul 8 pagi diiringi Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Norashikin, Raja Muda Selangor, Tengku Amir, Mufti Selangor, Datuk Mohd Tamyes Abd Wahid, Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan barisan anggota exco kerajaan negeri.

Baginda dan Tengku Permaisuri Norashikin turut berkenan menyumbang lembu korban untuk diagihkan.

Di PAHANG, Pemangku Raja Pahang Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah berangkat menunaikan solat sunat Aidiladha bersama kira-kira 2,000 umat Islam di Masjid Tengku Ampuan Afzan, Indera Mahkota.

Baginda tiba dengan diiringi dua anakanda, Tengku Muhammad Iskandar Ri’ayatuddin Shah dan Tengku Ahmad Muadzam Shah.

Solat sunat Aidiladha dipimpin Imam Besar, Masjid Tengku Ampuan Afzan, Muhammad Amin Abdul Mutalib manakala khutbah disampaikan Mufti Pahang Datuk Seri Abdul Rahman Osman.

Selepas menunaikan solat, Tengku Abdullah turut berkenan menyaksikan ibadat korban yang diadakan di dalam kawasan masjid berkenaan.

Baginda turut mengurniakan 10 ekor lembu dan biri-biri untuk ibadah korban di masjid itu.

Di SARAWAK, Ketua Menteri Sarawak Datuk Amar Abang Johari Tun Openg pagi ini bersama-sama kira-kira 5,000 umat Islam di sekitar Kuching menunaikan solat sunat Aidiladha di Masjid Jamek Negeri Sarawak, Petra Jaya.

Beliau kemudian menghadiri Majlis Tahlil dan menziarahi pusara di Tanah Perkuburan Masjid Bahagian Kuching.

Sementara itu, Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar menghadiri majlis pengagihan sumbangan daging korban di Masjid Darussadah Kampung Tabuan Hilir.

Di pekarangan Surau Baitul Iman, Ibu Pejabat Polis (IPD) Daerah Padawan, Timbalan Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Seri Dr James Dawos Mamit dan Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sarawak Profesor Datuk Dr Sim Kui Hian menghadiri majlis Ibadah Qurban peringkat IPD Padawan.

Sementara itu di TERENGGANU, Sultan Terengganu Sultan Mizan Zainal Abidin berkenan berangkat menunaikan solat sunat Aidiladha dengan diiringi Yang Di-Pertuan Muda Terengganu Tengku Muhammad Ismail di Masjid Al-Muktafi Billah Shah (Masjid Ladang), Kuala Terengganu.

Baginda yang turut diiringi Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman tiba kira-kira pukul 8 pagi.

Dalam khutbah hari ini, umat Islam diingatkan supaya terus mengekalkan silaturahim dan berusaha membina keluarga bahagia bagi mewujudkan generasi berwawasan yang mampu membina masa depan yang baik.

Umat Islam turut disaran mengukuhkan syiar Islam dan berusaha memantau perkembangan anak-anak agar tidak terpedaya dengan gejala yang mampu merosakkan akhlak.

Di PERAK, Sultan Perak Sultan Nazrin Shah berangkat menunaikan solat sunat Aidiladha di Masjid Sultan Azlan Shah di Ipoh bersama kira-kira 1,000 jemaah.

Turut berangkat Raja Muda Perak Raja Jaafar Raja Muda Musa dan Raja Di-hilir Perak Raja Iskandar Dzulkarnain Sultan Idris. Hadir sama Menteri Besar Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir.

Sementara itu, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi akan menghadiri Program Korban Bersama Anggota Pasukan Gerakan Am, Ulu Kinta petang ini.

Dalam pada itu, Pengerusi Persatuan Rohingya di Malaysia cawangan Ipoh, Mohd. Hassan Miya Huson berkata agihan daging korban sumbangan Yayasan Wakaf Turki atau Turki Diyanet Vakfi dengan kerjasama Majlis Perundingan Islam Malaysia (Mapim) yang merupakan program tahunan akan dibuat di pejabat persatuan pukul 4 petang ini.

“Tahun ini, yayasan beri 20 ekor lembu untuk negeri Perak, tetapi semuanya disembelih dalam satu majlis di Sungai Petani, Kedah dan daging dibawa balik ke Ipoh untuk diagihkan,” katanya.

Di KUALA LUMPUR, Masjid Negara dipenuhi lebih 12,000 umat Islam termasuk warga asing untuk menunaikan solat hari raya dan mendengar khutbah yang disampaikan Imam Besar Masjid Negara Tan Sri Syaikh Ismail Muhammad.

Syaikh Ismail dalam khutbah Aidiladha bertajuk ‘Ibrah dari Sirah’ menyeru umat Islam mencontohi keimanan dan ketaatan yang tinggi dimilik Nabi Ibrahim apabila menerima wahyu daripada Allah SWT dengan hati yang ikhlas dan reda sepenuhnya tanpa ada rasa berbelah bahagi untuk melaksanakannya.

“Mengambil ibrah (pengajaran) daripada peristiwa Nabi Ibrahim dengan anak lelakinya, Nabi Ismail, kita mengetahui bahawa semakin tinggi tahap keimanan seseorang itu maka semakin besar dan berat ujian yang menantinya.

“Harta, pasangan hidup (suami isteri), anak-anak dan bermacam lagi kesenangan hidup di dunia ini hakikatnya pinjaman sementara,” katanya.

Anak merupakan ujian dan amanah yang besar, dipertanggungjawabkan kepada seseorang manusia, para ibu bapa sanggup melakukan apa sahaja demi kesejahteraan anak mereka, kata Syaikh Ismail.

“Umat Islam harus mencontohi Nabi Ibrahim yang menganggap anak bukan sekadar menyambung keturunan dan harta tetapi apa yang paling penting anak harus mampu mewarisi iman dan agama,” katanya.

Syaikh Ismail berkata ibadah korban yang telah disyariatkan mengajar erti kecintaan dan kepatuhan kepada Allah SWT, sewajibnya umat Islam meletakkan kecintaan yang tinggi kepada Allah SWT melebihi kecintaan kepada pasangan masing-masing, anak, harta dan sebagainya.

Di PUTRAJAYA, sebanyak 135 lembu dikorbankan bersempena sambutan Hari Aidiladha dan Hari Keluarga Parlimen Putrajaya hari ini.

Anggota Parlimen Putrajaya yang juga Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor bersama isteri, Datin Seri Anggraini Sentiyaki juga meluangkan masa bergotong-royong melaksanakan ibadah korban bersama penduduk.

Daging korban diagihkan kepada penduduk di sekitar Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan termasuk di Ibu Pejabat Polis Daerah Putrajaya dan Ibu Pejabat Jabatan Bomba dan Penyelamat.

Kira-kira 500 penduduk turut serta dalam program tersebut.

Di PULAU PINANG, Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang Tun Abdul Rahman Abbas dan isteri, Toh Puan Majimor Shariff menunaikan solat sunat Aidiladha di Masjid Negeri di Jalan Air Itam.

Beliau bersama isteri yang tiba kira-kira jam 8.40 pagi disambut Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam, Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Datuk Abdul Malik Abul Kassim.

Kira-kira 2,000 umat Islam di Pulau Pinang menunaikan solat sunat serta mendengar khutbah hari raya di masjid berkenaan. – MalaysiaGazette