Mazlan Mansor

SHAH ALAM- Pihak polis telah memiliki beberapa rakaman kamera litar tertutup (CCTV) daripada kawasan sekitar balai polis Pinggiran Subang Jaya bagi membantu siasatan pembunuhan seorang anggotanya Khamis lalu.

Ketua Polis Selangor, Datuk Mazlan Mansor berkata, pihak polis akan mengkaji rakaman tersebut bagi mendapatkan lebih banyak klu berhubung pembunuhan L/Kpl Valentino Mesa yang ditemui mati akibat ditembak pada jarak dekat.

“Kami berjaya mendapatkan beberapa rakaman CCTV dan berharap boleh mengenal pasti petunjuk-petunjuk penting daripada video tersebut.

“Masih tiada bukti kukuh yang diperolehi setakat ini,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri program Gotong Royong Korban dan Hari Raya Haji Ibupejabat Kontinjen Polis Selangor di sini hari ini.

Mesa, 29, ditemui mati akibat ditetak dan ditembak pada jarak dekat pada jam 3.25 pagi Khamis lalu.

Pistol jenis Walther P999 miliknya juga hilang daripada tempat kejadian.

Semalam, seorang lelaki berusia 30-an telah ditahan dan direman berhubung pembunuhan tersebut.- MalaysiaGazette

.