KUALA LUMPUR – Sehari selepas Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengeluarkan kenyataan mengenai kerjasama dengan Pas, portal rasmi parti itu Harakah Daily hari ini dilaporkan berkata Anwar tidak melihat Pas adalah musuh.

Menurut penulis Pena Selatan, Anwar meratapi ‘kehilangan Pas’ dan PKR kehilangan ‘pendekar tempur’ yang mengambarkan bekas ketua pembangkang itu resah dengan perkembangan terbaharu itu.

“Dalam hal ini, Anwar sendiri melihat bahawa Pas bukanlah musuh, namun apa yang terzahir dalam PH sangat berbeza di mana DAP, PAN (Amanah), Bersatu dan (Naib Presiden PKR) Rafizi (Ramli) sendiri yang acap kali mewakili PKR menjadikan Pas sebagai musuh utama hatta melemparkan tuduhan kepada Pas kononnya mahu bersama UMNO.

“Walaupun sebelum ini berulang kali ditegaskan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang bahawa Pas tidak bersama UMNO, begitu juga Pas tidak akan bersama PH kerana secara jelasnya PH tidak menghormati pendirian Pas dan dasar yang dilaksanakan Pas iaitu Islam lebih-lebih lagi semasa Pas membawa RUU55 ke Parlimen di mana PH menentangnya,” tulis Pena Selatan.

Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Azmin Ali sebelum ini berkata, tindakan beliau dalam memastikan rundingan antara Pas dan PKR diteruskan adalah betul dan teguran Anwar mencerminkan bahawa Pakatan Harapan (PH) perlu akan kerjasaman dengan Pas.

“Terbukti saya betul. Kebenaran akan mengatasi penipuan. Mencari penyelesaian memerlukan kesungguhan ikhtiar – bukan sekadar untuk meraih perhatian,” tulis Azmin dalam Facebooknya.

Menyentuh mengenai Azmin, Pas berkata, kerjasama Pas dengan PKR sebelum ini hanya menguntungkan parti itu.

Memberikan contoh Parlimen Pandan yang ditandingi Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli apabila jentera pilihan raya Pas yang banyak digerakkan dan diberikan tanggungjawab berkempen dan sebagainya bagi memenangkan PKR.

“Begitulah juga di kawasan MB Selangor, Datuk Seri Azmin Ali di mana kawasan yang diwakili beliau sendiri menyedari realiti kekuatan Pas di peringkat bawah yang menyebabkan beliau juga menunjukkan kesungguhan sebelum ini melangsungkan perbincangan lanjut dengan Pas,” katanya. – MalaysiaGazette.