Home Nasional Pelarian perlu hormati undang-undang negara – Suhakam

Pelarian perlu hormati undang-undang negara – Suhakam

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) menegaskan pelarian-pelarian di negara in mesti menghormati dan mematuhi undang-undang Malaysia.

Menurutnya, setiap manusia di mana sahaja mereka berada berhak diberi kebebasan berhimpun secara aman berdasarkan Perkara 20 Universal Pengisytiharan Hak Asasi Manusia (UDHR).

Hak ini dijamin dalam Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan.

Bagaimanapun penunjuk-penunjuk perasaan yang ganas hilang perlindungan itu di bawah hak perhimpunan secara aman, dan polis boleh bertindak terhadap mereka yang melanggar undang-undang.

“Naluri kasih sayang dan hospitaliti Malaysia untuk memberi perlindungan kepada pelarian Rohingya yang telah mengalami keganasan, kesusahan, ancaman kepada kehidupan dan perpindahan bermakna pelarian perlu menghormati dan mematuhi undang-undang Malaysia,” kata Suhakam dalam kenyataan di sini.

Suhakam juga menekankan bahawa prinsip jaminan pelanggaran kesucian
premis diplomatik serta konsular dan Malaysia wajib melindungi premis misi diplomatik daripada pencerobohan atau kerosakan atau kemerosotan maruahnya.

Rabu lalu polis menahan 44 warga Rohingya semasa mengadakan perhimpunan haram di hadapan bangunan Lembaga Tabung Haji (TH) di Jalan Tun Razak.

Mereka ditahan kerana cuba melakukan provokasi ketika diminta polis untuk bersurai.

Sebelum itu lebih 1,000 warga Rohingya yang datang dari seluruh negara berkumpul dan berarak bagi menyerahkan memorandum kepada Kedutaan Myanmar di Jalan Ampang Hilir berikutan kekejaman dan pembunuhan umat Islam Rohingya.

Namun, setelah selesai menyerahkan memorandum itu, mereka terus berkumpul dan bertindak agresif sehingga memaksa Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) bertindak.

Undang-undang di bawah Akta Perhimpunan Aman 2012 tidak membenarkan warga asing membuat sebarang demonstrasi dan perhimpunan. – MalaysiaGazette