KUALA LUMPUR – Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Prasarana Malaysia (Prasarana), Azmi Abdul Aziz tertidur di kaki lima sebuah stesen di Mekah selepas penat bekerja memastikan kelancaran tren Al Mashaaer Al Mugaddassah Metro Southern Line (MMMSL) yang mula beroperasi pada 29 Ogos lalu.
Beliau bersama enam pegawainya tidur berlapikkan tilam nipis selepas menghabiskan masa sepanjang hari dan malam sejak seminggu untuk memastikan operasi tren berkenaan berjalan lancar dan memberi perkhidmatan terbaik kepada jemaah haji.
Gambar beliau sedang tidur kepenatan disiarkan menerusi akaun rasmi Facebook RapidKL dengan kapsyen, “Kami menerima foto ini dari rakan kami di Makkah. Ketua Pegawai Eksekutif kami, Azmi Abdul Aziz tidur selepas menghabiskan masa sepanjang malam memastikan segala-galanya baik-baik di Mekah. Berhati-hati, bos!”.
Azmi berada di Mekah sejak 29 Ogos lalu untuk menyaksikan operasi tren MMMSL yang dikendalikan Prasarana.
Prasarana adalah pengendali tren di Mekah sejak musim Haji 2015 lagi dan tahun lepas operasi MMMSL telah mendapat pujian dari kerajaan Arab Saudi.
Tahun ini, team Prasarana diketuai Azmi bekerja keras memastikan operasi MMMSL di Makkah memenuhi piawaian ditetapkan.
Semuanya dilakukan demi keselesaan dan keselamataan jutaan jemaah haji dari segenap pelosok dunia yang menggunakan perkhidmatan tren Prasarana di Makkah.
Tren MMMSL mempunyai 12 gerabak dengan setiap tren mampu memuatkan kira-kira 3,000 peumpang pada satu-satu masa. – MalaysiaGazette