Aznil Mustapha

KUALA LUMPUR – Bekas pelakon terkenal 80-an, Azmil Mustapha mengambil masa kira-kira empat bulan di Syria bagi belajar surah Al- Fatihah.

“Masa saya pergi Syria umur dah dekat 50 (tahun), ngaji setiap pagi dan empat bulan baru lulus surah Al Fatihah. Guru-guru di sana sangat teliti.

“Selepas itu baru belajar dan jumpa sheikh-sheikh besar, wali-wali,” ujarnya dalam rakaman video IkimFM hari ini.

Beliau berkata demikian ketika memberikan tips mengenai proses hijrah kepada pendengar stesen radio berkenaan.

Pelakon filem Ali Setan itu memberitahu, pada awal proses hijrahnya, dia melakukan amalan sunat yang ringan-ringan sahaja.

“Saya amal langkah kaki kiri masuk tandas, keluar kaki kanan dan masuk kaki kanan ke masjid,” ujarnya.

Azmil juga menasihati umat Islam supaya jangan berpegang kepada ‘Mazhab Ramadaniah’ sahaja dalam mentaati suruhan tuhan.

“Macam dalam ceramah saya kata ramai kita ni amal ‘Mazhab Ramadinah’ iaitu buat ibadat bulan Ramadan sahaja, bulan lain lingkup,” katanya.

Justeru, Azmil berkata, umat Islam perlu berpegang dengan agama Allah bersungguh-sungguh dan tidak melakukan perkara haram.

Beliau juga menyarankan umat Islam supaya mempelajari al-Quran kerana ia satu kitab penuh rahsia, kejaiaban kebenaran.

“Kalau kita benar-benar yakin (pada al Quran) kita dapat kemanisan berada dalam Islam,” katanya lagi.-MalaysiaGazette