KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur akan mendengar kes 19 individu yang memfailkan saman dan permohonan meminta mahkamah menghalang kemasukan penceramah bebas antarabangsa, Dr. Zakir Naik ke negara ini.
Sebutan kes bermula kira-kira jam 8.30 pagi esok, dengan sekumpulan peguam lantikan Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) mendapat kebenaran untuk menjadi pihak mencelah kes berkenaan.
Sehubungan itu, Perkasa menjemput orang ramai yang beragama Islam dan penyokong Dr. Zakir untuk hadir ke mahkamah Jalan Duta pagi esok bagi memberi sokongan moral kepada barisan peguam Perkasa dalam usaha mempertahankan pendakwah hebat itu.
Menurut Setiausaha Agung Perkasa, Syed Hassan Syed Ali, pertubuhan itu akan berjuang habis-habisan memastikan Dr. Zakir kekal berada dalam negara ini dengan status penduduk tetap.
“Mari kita tunjukkan solidariti sesama Islam untuk pertahankan seorang pendakwah Islam yang telah menerima pelbagai anugerah dari hampir seluruh negara Islam, termasuk Malaysia dan kerajaan Arab Saudi,” katanya dalam kenyataan kepada MalaysiaGazette di sini, hari ini.
Mac lalu, 19 individu termasuk pengerusi kumpulan Hindraf, P. Waythamoorthy dan peguam Siti Kasim memfailkan saman terhadap kerajaan Malaysia kerana mendakwa melindungi Dr. Zakir.
Mereka mendakwa, pendakwah kontroversi dari India itu adalah individu yang boleh mengancam keselamatan dan keharmonian negara.
“Beliau menggalakkan keganasan dalam masyarakat,” kata mereka dalam tuntutan saman itu.
Mereka juga mendakwa kehadiran Dr. Zakir di Malaysia akan membawa ancaman kepada keselamatan negara.
“Orang ini bahaya kerana dia diharamkan masuk ke beberapa negara lain kerana disyaki bekerja dengan kumpulan pengganas,” kata mereka.
Sehubungan itu, mereka memohon mahkamah mengeluarkan perintah menghalang Dr. Zakir memasuki negara ini. – MalaysiaGazette