KUALA LUMPUR – Ramai tidak tahu atau mungkin ramai tidak sedar, Tabung Haji (TH) Malaysia mempunyai satu amalan mulia yang dipraktikkan saban tahun.
Amalan mulia itu ialah apabila jemaah haji jatuh sakit di Mekah sehingga tidak berupaya melakukan ibadah Wukuf di Arafah dan tidak mampu melaksanakan haji pada tahun berkenaan, TH akan memulangkan semula wang berjumlah RM9,980.
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, jika jemaah itu pulih, mereka diberi keutamaan untuk menyempurnakan haji pada tahun berikutnya.
“Bagi jemaah haji yang koma dan sakit kronik di mana-mana Hospital Arab Saudi walaupun setelah selesai musim haji pula, kita akan menyediakan tiket penerbangan kelas ekonomi kepada seorang waris untuk datang menziarahi.
“Waris berkenaan pula berpeluang menunaikan ibadah umrah yang ditanggung sepenuhnya oleh TH,” katanya dipetik melalui status yang dimuatnaik dalam akaun Facebook beliau hari ini.
Menurut Dr. Asyraf Wajdi, betapa mulianya TH iaitu sebuah institusi terkemuka negara yang menjadi kebanggaan seluruh umat Islam Malaysia dalam mengamalkan Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) ini.
Sebelum itu, beliau menziarahi Hospital King Faisal dan Hospital Syishah yang menempatkan jemaah haji Malaysia yang sakit .
Di Hospital King Faisal, Dr. Asyraf Wajdi sempat menziarahi jemaah haji dikenali sebagai Mat Yani di Unit Rawatan Rapi (ICU) yang sebelum ini tidak sedarkan diri.
“Alhamdulillah beliau kini dalam keadaan stabil dan sudah mulai sedar dan boleh bercakap,” katanya.
Selepas itu, beliau ke Hospital Syishah yang dikendalikan sepenuhnya oleh TH menziarah pesakit yang direkodkan sehingga hari ini melebih 500 pesakit dan enam pesakit di Wad Psikatri.
“Saya bagi pihak kerajaan Malaysia mengucapkan terima kasih kepada kerajaan Arab Saudi kerana menanggung sepenuhnya perbelanjaan jemaah haji kita yang kritikal dan ditempatkan di hospital sekitar Mekah.
“Sehingga hari ini jumlah jemaah ditempatkan di hospital sekitar Mekah seramai 121 orang.
“Tidak lupa juga kepada pegawai perubatan yang berdedikasi tinggi, tidak kenal erti letih melayan setiap pesakit dengan penuh kasih sayang dan kesabaran,” katanya. – MalaysiaGazette