Polis masih berusaha mengesan mayat bayi lelaki yang ditanam seorang lelaki di kawasan tanah perkuburan di Bagan Dalam, dekat sini dalam kejadian awal pagi Jumaat.
Gambar hiasan

PONTIAN – Seorang kanak-kanak perempuan berusia 4 tahun dengan banyak kesan lebam di badan meninggal dunia di sini semalam, dipercayai didera ibu kandung serta teman lelaki wanita itu.

Susulan daripada itu, polis menahan ibu mangsa berusia 27 tahun dan bekerja sebagai pembantu kedai dan teman lelakinya berusia 26 tahun yang juga seorang penganggur.

Kedua-dua mereka kini ditahan reman selama tujuh hari bermula hari ini.

Mangsa, Nurul Natasya Abdullah disahkan meninggal dunia semasa sampai di Hospital Pontian pada kira-kita 1.30 petang semalam.

Ketua Polis Daerah Pontian, Superintenden Zakaria Abd. Rahman berkata, siasatan awal mendapati, terdapat banyak kesan lebam di tubuh mangsa.

“Ekoran laporan polis dibuat pegawai perubatan hospital berkenaan, polis menahan ibu kanak-kanak itu dan teman lelakinya di satu kawasan perumahan di sini,” katanya di sini hari ini.

Tambahnya, siasatan awal juga mendapati, mangsa dijaga ibu serta teman lelaki wanita itu dan dalam tempoh tersebut, mereka mengaku ada memukul kanak-kanak perempuan itu kerana nakal.

Beliau berkata, polis masih menunggu laporan bedah siasat dan kes itu disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan. – MalaysiaGazette