PUTRAJAYA – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mengingatkan mahasiswa institusi pengajian tinggi (IPT) agar dapat mengelakkan diri daripada ancaman media sosial yang penuh dengan maklumat tidak tepat.
Justeru, katanya, pentingnya mereka mengukuhkan diri masing-masing dengan konsep tabayyun agar mereka tidak mudah terpengaruh dengan dakyah fitnah daripada sebelah pihak.
“Kehidupan kita hari ini tidak dapat elak daripada mendapatkan maklumat menerusi media sosial. Kalau kita tidak ada konsep tabayyun, sudah tentu kita terjerumus dalam kancah fitnah.
“Dengan adanya tabayyun, kita mempunyai keyakinan diri untuk mendapatkan penjelasan terlebih dahulu sebelum menerima bulat-bulat maklumat kurang tepat daripada pihak lain,” katanya.
Beliau berkata demikian berucap merasmikan mesyuarat Majlis Perundingan Pelajar Kebangsaan (MPPK) di Dewan Putera B2 di Pusat Konvensyen Putrajaya (PICC) di sini hari ini.
Turut hadir, Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Idris Jusoh.
Menurut Ahmad Zahid, penuntut boleh menggunakan MPPK yang diwujudkan sejak 1999 sebagai platform mereka bersuara.
Ujar beliau, penubuhan MPPK adalah satu pengiktirafan kerajaan kepada mahasiswa IPT dalam mahupun luar negara.
Katanya, mereka boleh berkongsi idea mengenai kepimpinan tertinggi kepada kerajaan dengan mengemukan pandangan serta cadangan yang boleh menambahbaikkan pentadbiran negara pada masa akan datang. – MalaysiaGazette
















