Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan Timbalan Menteri Luar, Datuk Seri Reezal Merican (lima kiri) bergambar bersama yang lain dengan memegang "placard" Negaraku Prihatin ketika menyempurnakan pelepasan Pasukan Tinjauan Misi Kemanusiaan Pelarian Rohingya ke Dhaka dan Chittagong, Bangladesh di Pengkalan Udara TUDM Subang. foto SAFWAN MANSOR, 09 SEPTEMBER 2017

SUBANG – Malaysia tidak akan membiarkan kerajaan Bangladesh bersendirian dalam menangani isu pelarian Rohingya di sempadan Bangladesh-Myanmar.

Sebaliknya, usaha itu akan dilakukan bersama menerusi bantuan kemanusiaan yang terdaya diberikan oleh Malaysia kepada mereka, kata Datuk Seri Najib Razak.

“Mengikut Pesuruhjaya Tinggi Bangladesh ke Malaysia, mutakhir ini bilangannya (pelarian Rohingya) lebih kurang 350,000 orang yang sudah berpindah dan terpaksa melarikan diri ke Bangladesh.

“Dan di Bangladesh dah ada 500,000 sedia ada orang Rohingya yang melarikan diri sebelum ini, jadi skala malapetaka ini amat besar,” katanya kepada pemberita selepas melepaskan Misi Kemanusiaan – Negaraku Prihatin di Pangkalan Udara TUDM Subang di sini, hari ini.

Bantuan makanan dan keperluan seberat 12 tan dihantar ke Chittagong di Bangladesh dengan dua pesawat A400M Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).

Perdana Menteri berkata, satu pasukan peninjau akan turut dihantar ke Dhaka, Bangladesh pada Isnin depan untuk berbincang dengan kerajaan Bangladesh mengenai tindakan susulan yang boleh dilakukan dalam membantu pelarian etnik Rohingya.

Katanya, seramai 35 sukarelawan iM4U akan dihantar dalam misi kemanusiaan itu.

“Terima kasih kepada kerajaan Bangladesh kerana memberikan kerjasama yang sangat baik untuk (Malaysia) melaksanakan misi kemanusiaan ini,” katanya.

Najib berkata, Malaysia terpanggil untuk melaksanakan misi kemanusiaan memandangkan malapetaka yang menimpa etnik Rohingya telah sampai ke tahap begitu dahsyat sekali.

“Kita tak boleh pandang ringan kerana laporan kita terima mereka sedang dizalimi tanpa belas kasihan dengan tindakan yang tidak ada unsur kemanusiaan sama sekali.

“Sebaliknya, memang dilakukan dengan terancang supaya mereka ini didera dan dizalimi, dibunuh, dirogol dan segala angkara yang mengerikan,” katanya.

Najib berkata, beliau akan turut membangkitkan mengenai krisis kemanusiaan itu ketika bertemu Presiden Amerika Syarikat Donald Trump pada Selasa ini.

“(Saya) akan bangkitkan perkara ini tetapi dalam pertimbangan beliau (Trump) banyak lagi cabaran lain termasuk masalah ketegangan dengan Korea Utara dan lain-lain,” katanya.

Pelepasan tim tinjauan Misi Kemanusiaan Pelarian Rohingya ke Chittagong, Bangladesh itu diwakili lapan anggota terdiri daripada enam anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan masing-masing seorang kakitangan Kementerian Pertahanan serta sukarelawan 1Malaysia for youth (iM4U) berlepas dengan menaiki pesawat pengangkut A400M Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).

Pasukan yang diketuai oleh Ketua Staf Markas Angkatan Bersama, Laksamana Muda Datuk Mohamad Adib Abdul Samad itu bertujuan mendapatkan gambaran sebenar situasi selain mengenal pasti bentuk bantuan kemanusiaan yang mampu disediakan.

Pasukan itu juga membawa bersama mereka bantuan makanan sumbangan iM4U seberat 12 tan.

Pada malam ini pula, empat lagi anggota tim tinjauan Misi Kemanusiaan Pelarian Rohingya ke Dhaka yang diketuai ketua Staf Markas ATM, Leftenan Jeneral Datuk Abdul Halim Jalal akan berlepas menaiki pesawat komersial – MalaysiaGazette