Liridon Krasniqi salah seorang oemain import Kedah.
ALOR SETAR – Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) tidak menolak kemungkinan untuk menggugurkan seorang daripada empat pemain import pasukan itu dalam usaha memastikan Kedah terus melakar kemenangan pada masa akan datang.

Naib Presiden KFA Datuk Badrol Hisham Hashim berkata ini kerana ada daripada kalangan pemain import berkenaan yang menunjukkan prestasi kurang memuaskan.

“Tidak mustahil…ada kemungkinan (untuk menamatkan kontrak pemain import), namun perkara ini belum diputuskan lagi…kita akan tengok dahulu kontrak perjanjian pemain-pemain ini.

“Bagi saya mudah, kalau pemain itu tunjuk komitmen dan semangat pasukan yang tinggi kita akan kekalkan, kalau kita tengok persembahan merosot mungkin kita akan gugurkannya daripada pasukan,” katanya kepada pemberita selepas menyaksikan perlawanan Piala Malaysia Kedah menentang Kelantan di Stadium Darul Aman di sini Sabtu malam.

Ketika ini Kedah mempunyai empat pemain import iaitu Liridon Krasniqi, Sandro Da Silva, Zachary Michael Anderson dan Ken Ilso Larsen.- BERNAMA