MERSING – Mersing Harbour Centre, pusat perniagaan bersepadu bagi penduduk setempat di sini, dilancarkan oleh Sultan Johor Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar hari ini sempena Program Kembara Mahkota Johor 2017.

Pusat bernilai RM12 juta itu menyediakan 50 ruang niaga kepada penduduk tempatan, termasuk peserta program Empower Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC).

Selain itu, ia mempunyai tempat letak kereta, kaunter informasi pelancongan, dewan pameran, surau, taman permainan kanak-kanak dan kemudahan lain untuk kegunaan pelancong dan penduduk tempatan.



Menurut Ketua Pegawai Eksekutif ECERDC Datuk Seri Jebasingam Issace John, pusat itu dibangunkan pihaknya dengan kerjasama kerajaan negeri sejak Januari tahun lepas bagi meningkatkan taraf hidup rakyat terutama daripada kalangan berpendapatan 40 peratus terendah (B40).

“Idea asalnya adalah untuk menjadikannya tarikan baharu seperti Pasar Payang di Terengganu dan Pekan Rabu di Kedah.

“Kita berharap ia akan mengukuhkan kedudukan Mersing sebagai destinasi pelancongan utama di Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER), selain membolehkan pelancong menikmati juadah tempatan serta melawat kedai-kedai hasil kesenian unik, kraftangan dan cenderamata yang dijual usahawan tempatan,” katanya kepada pemberita sebelum pelancaran pusat itu di sini hari ini.

Berdasarkan statistik ECERDC, Mersing yang menjadi satu-satunya daerah di Johor menyertai ECER, mencatatkan nilai pelaburan swasta sebanyak RM1.61 bilion setakat Julai lepas, yang turut mewujudkan 1,710 peluang pekerjaan kepada penduduk setempat.

Terdahulu, sempena pelancaran pusat itu, Sultan Ibrahim turut berkenan menyampaikan sijil penghargaan Pelajar Akademik Cemerlang Program Empower ECER kepada 29 penuntut Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) serta Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Baginda juga berkenan menyampaikan Anugerah Khas Peserta Empower ECER Mersing kepada lima usahawan berjaya iaitu Nurul Hidayatul Islamin Johar; Noorsharliza Dali; R. Krishnan; Ng Tai Kah dan R. Izrarul Aqvxal Ismail.

Program Empower ECER yang terdiri daripada Program Latihan Akademik untuk pelajar dan Program Latihan Kemahiran dan Keusahawanan untuk golongan dewasa, merupakan inisiatif kerajaan pusat untuk membangunkan modal insan.

Program terbabit menyediakan tuisyen percuma setiap minggu bagi meningkatkan kecemerlangan akademik manakala golongan dewasa diberikan bimbingan kemahiran dan keusahawanan bagi menaikkan taraf hidup masing-masing.

Setakat ini, lebih 3,000 penduduk Mersing telah menyertai dan mendapat manfaat daripadanya.

Turut hadir Menteri Besar Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Alam Sekitar, Pendidikan dan Penerangan negeri, Datuk Ayub Rahmat dan Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah negeri Datuk Ir Hasni Mohammad.- BERNAMA