Tan Sri Annuar Musa

KOTA BHARU – Tan Sri Annuar Musa dicalon untuk bertanding jawatan Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan) KAFA.

Perkara tersebut diumumkan Setiausaha Agung KAFA, Datuk Ismail Md Noor dalam satu kenyataan hari ini.

“Penamaan calon dilakukan anggota gabungan KAFA bagi memilih kepimpinan KAFA untuk penggal 2017 hingga 2021,” katanya.

Pemilihan akan diadakan pada Kongres Ke-43 KAFA Ahad ini.

Annuar melepaskan jawatan presiden pada November tahun lepas dan menjadi penasihat KAFA.

Ismail berkata empat calon lagi turut dicalon untuk jawatan presiden iaitu Timbalan Presiden KAFA, Datuk Mohamad Nasir Hamzah, Naib Presiden KAFA, Datuk Rosmadi Ismail, Penaja KAFA, Datuk Ir Shaari Hassan dan Ahli Peniagaan Bibi Ramjani Ilias Khan.

Beliau berkata bagi jawatan timbalan presiden pula, seramai empat individu dicalonkan.

“Turut disenarai ialah 13 calon bagi jawatan naib presiden yang terdiri daripada tokoh korporat, pentadbiran, tokoh politik manakala 30 orang dicalonkan bagi jawatan anggota jawatankuasa,” katanya.

Ismail berkata pemilihan calon akan ditentukan 52 orang perwakilan anggota gabungan KAFA, persatuan bola sepak jajahan, persatuan bola sepak Melayu dan persatuan bola sepak Cina.

— BERNAMA

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast