Annuar Musa
Annuar Musa

KOTA BHARU – Hasrat anggota gabungan Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) mencalonkan bekas presiden Tan Sri Annuar Musa bagi mengisi jawatan presiden tidak kesampaian apabila Annuar menolak pencalonan tersebut hari ini.

Annuar, selaku penasihat KAFA, mendahului senarai lima individu yang dicalonkan oleh anggota-anggota gabungan persatuan itu bagi bertanding jawatan berkenaan pada Kongres Tahunan ke-43 badan induk negeri itu, Ahad ini.

Setiausaha Agungnya, Datuk Ismail Md Noor, yang mengumumkan senarai pencalonan bagi jawatan berkenaan hari ini, menyatakan empat individu lain yang dicalonkan ialah timbalan presidennya, Datuk Muhammad Nasir Hamzah, naib presiden Datuk Rosmadi Ismail, penaja KAFA Datuk Ir Shaari Hassan dan ahli perniagaan, Bibi Ramjani Illias Khan.

Annuar berkata penolakan pencalonan tersebut dilakukan berikutan beliau mahu memberi laluan kepada individu lain untuk menerajui pucuk kepimpinan persatuan itu bagi penggal 2017 hingga 2021.

“Saya tidak perlu bertanding kerana saya yakin ramai individu lain boleh melakukan perubahan yang lebih baik terhadap KAFA daripada saya,” katanya.-BERNAMA