Penyerang negara, N. Thanabalan (dua, kanan) meraikan jaringannya bersama rakan sepasukan pada aksi Bola Sepak Kumpulan A bertemu Myanmar sempena Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 di Stadium Shah Alam, Isnin.Malaysia menang 3-1 baru-baru ini.Foto: MOHD JOHARI IBRAHIM

KUALA LUMPUR – Penyerang skuad Bawah 22 (B-22) N. Thanabalan berkata beliau sedia untuk mempertimbangkan tawaran bermain di luar negara sekiranya ia dapat membantu mengubah nasib keluarganya.

Namun pemain Felcra FC itu yang menjadi watak penting ketika membantu Malaysia meraih pingat perak pada Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (KL2017) bulan lepas menegaskan beliau perlu meneliti beberapa faktor terlebih dahulu termasuk soal untuk menjaga bapanya yang kini terlantar sakit.

“Setakat ini saya belum mendapat apa-apa tawaran, tapi saya ada dengar khabar angin tentang perkara tersebut melalui media. Kalau dapat tawaran bagus dari segi gaji dan sebagainya, mungkin saya akan pertimbangkan.

“Kalau boleh saya mahu beraksi dengan pasukan yang dapat memberikan saya peluang selama 90 minit. Semestinya saya mengharapkan tawaran yang lebih baik kerana perlu menjaga keluarga saya terutamanya ayah saya yang kini lumpuh,” katanya kepada Bernama.

Sebuah akhbar tempatan sebelum ini melaporkan Thanabalan dan lima lagi pemain skuad B-22 diintai kelab Liga 1 Thailand selepas mefreka mempamerkan aksi memberangsangkan pada KL2017.- BERNAMA