Tuan Ibrahim Tuan Man

KUALA LUMPUR – Pas mula menyerang Tun Dr. Mahathir Mohamed setelah Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) itu mahu pemimpinnya yang mendakwa memperjuangkan Islam bertaubat.

Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, yang perlu bertaubat ialah Tun Dr. Mahathir kerana ketika menerajui UMNO sebelum ini, beliau meletakkan parti itu sebagai perompak dan penyamun.

“Pas berlawan dengan UMNO dan Barisan Nasional (BN) kerana dari dulu lagi parti itu telah melakukan pelbagai kerosakan sehingga dilihat sebagai perompak dan penyamun.

“Malah, di zaman Tun, UMNO sudahpun menjadi perompak dan penyamun, cuma Tun tidak sedar.

“Sesiapa yang mempertikaikannya perlu berdepan dengan senjata yang bernama Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) yang sedia digunakan Tun dengan sewenang-wenangnya,” katanya dalam kenyataan kepada media di sini, hari ini.

Semalam media melaporkan, Tun Dr. Mahathir mahu pemimpin dan ahli-ahli Pas bertaubat.

Beliau juga mendakwa, ahli-ahli Pas turut menanggung ‘dosa-dosa’ yang dibuat pemimpin BN.

“Sesungguhnya mengundi Pas adalah sama dengan mengundi BN dan mendokong perbuatan jenayah, rasuah dan mencuri yang diamalkan oleh BN pimpinan Najib,” kata mantan Presiden UMNO itu.

Menurut Tuan Ibrahim, sehingga hari ini, semua rakyat masih melawan sistem yang ditinggalkan Tun termasuk dirinya sendiri.

Katanya, ketika Tun Mahathir menjadi Perdana Menteri, pembangkang paling hebat ditekan, ditindas sehingga pelbagai tragedi berlaku.

“Royalti minyak Kelantan tidak diberi, malah royalti minyak Terengganu dijadikan wang ehsan sebaik sahaja Pas mengalahkan UMNO di Terengganu.

“Di zaman Tun, semua timbalan Tun yang dirasakan tak sesuai dipecat dengan pelbagai tuduhan. Sebahagian mereka kerana menentang rasuah, salahguna kuasa dan kronisme yang berlaku di waktu itu.

“Kini istilah itu bertukar kepada kleptokrasi. Gunalah apa istilah sekalipun, hakikatnya penyelewengan terus berleluasa. Ia menjadi budaya dalam UMNO yang kekal sehingga hari ini sehinggalah Tun sendiri pun terasa meluat melihatnya,” katanya.

Beliau berkata, di bawah Perdana Menteri, Datuk Sei Najib Tun Razak, UMNO dan BN hampir tumbang pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) yang lalu.

Tuan Ibrahim menjelaskan, rakyat mempunyai peluang keemasan untuk menumbangkan BN bersama Pakatan Rakyat (PR) pada PRU13, tetapi ketika itu Tun memilih bersama UMNO melalui Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) untuk mengekalkan kekuasaan Najib dan juga BN.

“BN kekal berkuasa sehingga hari ini disebabkan Tun dan juga sistem berat sebelah yang dikekalkan oleh Tun. UMNO yang ada hari ini adalah hasil didik Tun.

“Sudah berdekad lamanya sejak merdeka. Pas melawan UMNO. Di zaman Tun, kamilah yang lawan Tun. Ketika Tun memilih Tun Abdullah Badawi sebagai perdana menteri, kami tetap melawan UMNO dan terus melawan UMNO meskipun kami hampir kehilangan segalanya.

“Ketika Tun memilih Najib menjadi perdana menteri, kami membantah dan terus melawan UMNO sehingga hari ini,” ujar beliau. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast