Ibu salah seorang mangsa, Norhayati Khalid bercakap kepada media berikutan kejadian kebakaran Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah di Jalan Datuk Keramat, Selangor. foto HAZROL ZAINAL, 14 SEPTEMBER 2017.

KUALA LUMPUR – “Mungkin Allah lebih sayangkan dia, saya redha”, itu antara luahan hati seorang ibu kepada mangsa kebakaran Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah mengenangkan kematian anaknya hari ini.

Menurut ibu kepada Allahyarham Amir Asyraf, 11, Norhayati Khalid, dia dan keluarga redha dengan ketentuan yang telah diberikan.

“Setiap malam dia solat hajat untuk ibu ayah untuk mohon sihat semua. Semua ini takdir, mungkin Allah lebih sayangkan dia,” katanya kepada media.

Menurut Norhayati, anaknya ada memberikan sepucuk surat kepadanya memohon maaf kepadanya sehari sebelum kejadian.

Sebelum kejadian, Amir menulis;

“Ibu ayah, Amir minta maaf kalau ada buat salah apa-apa.

“Amir sayangkan ibu dan ayah. Amir tak tahu macam mana nak balas jasa ibu dan ayah. Hanya ini sahaja yang Amir mampu masuk tahfiz untuk menolong ibu dan ayah untuk masuk syurga Firdaus, daripada Amir” tulis surat berkenaan.

Jelas ibu berusia 42 tahun itu, anaknya ada menyatakan kepadanya bahawa beliau selalu menunaikan solat hajat memohon agar ibubapanya dikurniakan kesihatan yang berpanjangan.

Amir Asyraf antara 22 pelajar tahfiz yang terkorban dalam kebakaran melibatkan pusat tahfiz itu.

Selain Amir, dua orang guru di Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah turut maut akibat kebakaran yang berlaku kira-kira pukul 5.30 pagi tadi.

Kesemua mangsa ditemui rentung di tingkat atas pusat tahfiz berkenaan yang didiami oleh 36 penuntut dan enam orang guru.

Seorang lagi mangsa meninggal di Hospital Kuala Lumpur.

Penuntut-penuntut yang meninggal dunia berusia antara 13 hingga 17 tahun itu dipercayai sesak nafas akibat asab tebal daripada kebakaran itu. -MalaysiaGazette.

1 Komen

  1. Allah lebih mengetahui drp kita hamba2nya dan jangan kita lupa ada sesuatu yang lebih baik dan mulia sedang menanti untuk d rasai oleh pihak yang berkenaan keluarga mangsa atau pun pihak Tahfiz .Sabar byk2 dan redha dgn ketentuan Allah S.W.T

Comments are closed.