Othman Mustapha

KUALA LUMPUR – Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) menyeru dan menasihati mana-mana pihak tidak menyebarkan sebarang gambar tragedi kebakaran Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyyah di sini, awal pagi tadi.

Ketua Pengarahnya, Tan Sri Othman Mustapha berkata, ini bagi mengelakkan mereka daripada menjadi fitnah dan menimbulkan tanggapan negatif terhadap agama Islam.

Kenyataannya itu turut dipersetujui Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Dr. Zulkifli Mohamad al-Bakri yang meminta orang ramai menjaga aib mangsa dan keluarga.

“Sebaiknya kepada masyarakat awam, tidak perlu disebarkan gambar yang mungkin melukakan hati keluarga mangsa.

“Cukuplah dengan mendoakan mereka, di samping memberi sokongan moral, kewangan dan lain-lain yang wajar.

Sama-sama kita sedekah Surah al-Fatihah kepada semua mangsa,” katanya.

Menurut Othman, Jakim sedih dan dukacita dengan kejadian kebakaran asrama lelaki pusat tahfiz berkenaan yang mengorbankan lebih 20 nyawa pelajar dan guru.

Katanya, tragedi itu sangat mengejutkan dan menyedihkan.

“Jakim mengucapkan takziah dan rasa simpati kepada keluarga mereka yang terkorban, semoga diberikan ketabahan hati dan kekuatan oleh Allah terhadap kejadian ini,” kata beliau. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast