Anggota Bomba dan Penyelamat Unit Forensik melakukan pemeriksaan berikutan kes kebakaran yang berlaku di Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah, Jalan Datuk Keramat, Selangor. foto HAZROL ZAINAL, 14 SEPTEMBER 2017.

KUALA LUMPUR – Kejadian kebakaran di Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah di Datuk Keramat hari ini diharap membuka mata pihak berkaitan untuk memastikan aspek keselamatan dijadikan keutamaan.

Menerusi posting di Facebook Siakap Keli, kebanyakan netizen mendesak pemeriksaan aspek keselamatan sebelum sebarang pusat tahfiz dibenarkan beroperasi.

“Sebagai iktibar, mohon pihak berkuasa terutama bomba untuk tutup semua sekolah tahfiz buat tinjauan berkenaan tahfiz yang ada dan tiada ciri-ciri keselamatan.

“Mana yang tiada ciri keselamatan, mohon tutup sementara waktu,” kata individu dengan nama Mann Skate di ruangan komen dan menerima lebih 1,000 likes.

Mohd Azlan LanLyn Lanfire pula berpandangan, kebanyakan pusat tahfiz tidak mengikuti aspek ditetapkan bomba kerana kekangan sumber kewangan.

“Seharusnya bila perkara begini terjadi, semua pihak perlu buka mata terutama kepada tahfiz yang masih beroperasi tolong ambil pengajaran.

“Contohi Darul Quran Kuala Kubu Bharu yang bukan sahaja mendapat sepenuhnya bantuan dari kerajaan tetapi aspek keselamatan bagi anak-anak juga terjamin,” katanya dengan hashtag #anggotabombakl.

“Sedih sangat dan dalam masa sama kecewa sebab pengendali pusat tahfiz rata-rata tak menitik berat aspek keselamatan. Mereka perlu pasang pengesan asap dan api, grill yang boleh dibuka dari dalam dan pemadam api. Lebih baik dapatkan khidmat nasihat bomba.

“Dalam mencari ilmu, kena juga ada kesedaran aspek keselamatan,” kata Mikey pula.

Bagi Rais Rifqi, kerajaan Persekutuan juga perlu memberi bantuan sewajarnya dalam usaha menyediakan pusat tahfiz lebih baik kepada rakyat tempatan daripada melebihkan pihak luar.

“Banyak tahfiz terbakar dalam tempoh dua tahun akibat kekurangan kelengkapan kebakaran dan pusat tahfiz yang serba tiada selain mengharap yuran daripada ibu bapa. Kerajaan patut lebih peka, jangan kera di hutan disusukan anak di rumah mati kelaparan,” katanya.

Kejadian pagi tadi mengorbankan 25 nyawa dengan 24 daripada rentung dan dijumpai dalam keadaan bertindih.

Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) mengesahkan hanya ada satu sahaja pintu keluar dan masuk ke bilik asrama di pusat berkenaan.

Mengikut spesifikasi halangan kebakaran JBPM, bangunan seperti itu memerlukan lebih banyak pintu untuk keluar dan masuk. – MalaysiaGazette