Mangsa yang terselamat, Muhammad Ihsan Husin bercakap kepada media berikutan kejadian kebakaran Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah di Jalan Datuk Keramat, Selangor. foto HAZROL ZAINAL, 14 SEPTEMBER 2017.

KUALA LUMPUR – Umur masih panjang. Itu nasib seorang bayi yang menjadi mangsa kebakaran di Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah, Jalan Keramat Hujung dekat sini pagi tadi.

Bayi berkenaan berjaya diselamatkan oleh sekumpulan enam pelajar yang terselamat apabila mereka berjaya keluar daripada tempat kejadian.

Menurut salah seorang mangsa, Muhammad Ihsan Husin , 16, beliau bersama lima yang lain menyedari kebakaran berlaku ekoran suasana bising daripada tingkat tiga pusat tahfiz berkenan.

“Pintu nak keluar asrama sudah terbakar saya nampak diorang telah cabut gril pintu saya pun pergi turun sekali.

“Turun bawah tengok keadaan. Orang dah bising. Isteri ustaz jerit cakap tolong ada bayi.

“Saya dan kawan-kawan tolong turun selamatkan bayi. Bayi kat tingkat atas yang terbakar. Saya duduk tingkat dua, kawan saya panjat tingkap, saya sambut dari bawah,” katanya menceritakan saat cemas berkenaan kepada wakil media di lokasi kejadian hari ini.

Menurut Muhammad Ihsan, beliau berada di tingkat dua yang menempatkan 34 pelajar lain.

Kesemua mereka sedang tidur ketika kejadian berlaku.

Bayi berkenaan adalah milik salah seorang ustaz berkenaan yang juga penyelia di pusat yang dikenali sebagai Ustaz Azahari. -MalaysiaGazette.