Home Dunia Direnjat elektrik kerana mahu kahwin lari

Direnjat elektrik kerana mahu kahwin lari

Kawasan perkuburan yang digali semula untuk siasatan kematian pasangan remaja yang dibunuh secara renjatan elektrik di Pakistan. foto Agensi

PAKISTAN – Mayat dua remaja yang digali semula selepas sebulan kematian mereka menunjukkan tanda-tanda renjatan elektrik.

Polis terpaksa menggali semula kubur Bakht Jan, 15 dan teman lelakinya, 17, untuk melakukan bedah siasat bagi punca kematian mereka.

Keputusan bedah siasat itu masih belum diketahui.

Polis berkata, pasangan tersebut dipercayai merancang untuk kahwin lari tetapi apabila keluarga mereka mengetahui, ketua suku telah mengarahkan pasangan itu dibunuh.

Empat individu termasuk kedua-dua bapa pasangan itu telah ditahan. Polis juga sedang mengesan jejak ketua majlis suku atau dikenali sebagai jirga.

Ketua Polis Daerah, Rao Anwaar berkata, polis mengetahui kes pembunuhan dan pengebumian pasangan itu melalui pemberi maklumat.

Beliau berkata, mayat-mayat yang digali semula di tanah perkuburan Mauladad di Sherpao Colony pada hari Rabu lalu mempunyai kesan renjatan elektrik pada lengan, dada dan kaki.

“Terdapat tanda-tanda renjatan elektrik dan penyeksaan pada kedua-dua mayat,” menurut Dr Qarar Ahmed Abbasi yang mengesahkan, laporan akhbar Dawn.

Kumpulan hak asasi manusia yang menggelar kematian menggunakan renjatan elektrik sebagai ‘pembunuhan terhormat’ meningkat di Pakistan, berlaku apabila wanita tidak dibenarkan berkahwin dengan lelaki yang tidak dipersetujui keluarga.

Zia Ur Rehman, seorang wartawan akhbar The News, yang mendedahkan pembunuhan itu memberitahu, dua keluarga itu telah mencapai penyelesaian mengikut tradisi kesukuan mereka.

“Di bawah penyelesaian itu, pasangan itu akan berkahwin dan keluarga remaja lelaki itu akan memberikan dua wanita dalam perkahwinan kepada dua lelaki pada keluarga gadis itu.

Tetapi jirga dipanggil untuk menyokong penyelesaian ini pada 15 Ogos lalu menolaknya dan memerintahkan pasangan itu dibunuh sebagai pengajaran kepada orang lain.

Pegawai polis, Aman Marwat memberitahu BBC, saudara-saudara yang ditahan polis mendakwa kedua-dua mangsa telah diberi dadah dan kemudian dikenakan renjatan elektrik setelah diikat ada sebuah katil.

Aman berkata, Bakht Jan meninggalkan rumahnya secara senyap-senyap pada 14 Ogos lalu tetapi keluargannya berjaya menemui dia semula selepas Rehman tidak sampai di tempat pertemuan mereka.

Gadis itu dibunuh pada 15 Ogos lalu manakala pasangannya pada keesokan harinya.

Hampir 1,100 wanita dibunuh di Pakistan pada tahun 2015 oleh saudara-mara kerana tidak berlaku jujur kepada keluarga. – MalaysiaGazette