KUALA LUMPUR – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi hari ini menggesa agar syor Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Mengenai Keselamatan Sekolah Agama selepas tragedi Pondok Pak Ya pada tahun 1989 digunakan bagi siasatan pasukan khas Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah.
Menurutnya, syor yang diketengahkan oleh RCI Pondok Pak Ya atau Sekolah Agama Rakyat Taufiqiah Khairiah Al-Halimiah itu tidak langsung digunapakai dalam mana-mana pembinaan sekolah tahfiz di negara ini.
“Kejadian kebakaran di sekolah agama rakyat dan Maahad Tahfiz ini tidak boleh dibendung lagi kerana kita harap RCI Pondok Pak Ya yang mencadangkan beberapa insiatif digunapakai untuk keperluan sekolah Maahad Tahfiz dan sekolah agama ini.
“Pasukan petugas khas ini diharap akan meneliti semua pelaksanana dan syor RCI Pokok Pak Ya ini kerana saya dimaklumkan cadangan itu tidak digunapakai dan saya harap (ia digunapakai) demi keselamatan anak-anak tahfiz,” katanya dalam sidang media selepas sesi Dialog Perdana Transformasi Nasional (TN50) di Pusat Latihan Polis (PULAPOL) hari ini.
Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri berkata, sejak syor RCI Pondok Pak Ya dikemukakan, tiada penyelarasan antara pihak berwajib, terutama kementerian yang sepatutnya dilaksanakan malah dipandang remeh.
“Bukan semua tak patuhi tapi saya fikir sebab satu kejadian akan beri gambaran buruk sistem pendidikan dan burukkan imej pendidikan Islam.
“Juga burukkan imej dari segi PBT dan juga jabatan atau agensi penguatkuasaan yang telah beri garis panduan pembentukan dan juga ciri-ciri keselamatan yang harus ada pada mana-mana tahfiz n sekolah agama,” katanya.
Dalam pada itu, Ahmad Zahid mengesahkan pasukan khas siasatan itu akan memulakan mesyuarat pertamanya Selasa depan.
Semalam, beliau menawarkan diri selaku pengerusi pasukan khas tersebut bagi menyiasat punca kejadian itu.
“Ianya akan melibatkan menteri-menteri yang berkaitan dengan soal pendidikan termasuk pendidikan agama, penguatkuasaan, dan jabatan serta agensi yang berkaitan kerana kejadian kebakaran di sekolah agama rakyat dan Maahad Tahfiz ini,” katanya lagi. -MalaysiaGazette.