KUALA LUMPUR – Kadar jangka pendek dijangka kekal kukuh minggu depan dengan Bank Negara Malaysia diunjur mengemukakan tender bagi menyerap lebihan mudah tunai daripada sistem.
Bagi minggu yang baru berakhir, kadar semalaman disebut harga pada 2.96 peratus, manakala kadar satu minggu, dua minggu dan tiga minggu, masing-masing pada 3.02 peratus, 3.07 peratus dan 3.11 peratus.
Bank pusat campur tangan setiap hari bagi menyerap lebihan mudah tunai dengan mengendalikan tender lelongan matang, tender Qard, tender Qard Program Murabahah Komoditi, tender repo dan tender repo berbalik.
Jumlah lebihan mudah tunai dalam sistem konvensional bagi minggu yang baru berakhir bertambah kepada RM33.10 bilion daripada RM26.34 bilion pada minggu sebelumnya manakala dalam sistem Islam, ia meningkat kepada RM11.90 bilion daripada RM9.5 bilion.
Penanda aras tiga bulan antara bank pada 3.43 peratus. – MalaysiaGazette