Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak melawat sekitar bangunan Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah yang terbakar dan mengorbankan 23 pelajar di Kampung Datuk Keramat, Kuala Lumpur. foto SAFWAN MANSOR, 15 SEPTEMBER 2017

KUALA LUMPUR – Peristiwa malang yang mengorbankan 23 penghuni Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiah hakikatnya memberi kesan yang mendalam terhadap emosi Datuk Seri Najib Tun Razak.

Perdana Menteri yang terbang dari Kedah selepas menziarah makam Almarhum Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah kelihatan sugul sebaik tiba di perkarangan pusat tahfiz kira-kira pukul 10 malam.

Bercakap kepada media, Najib memberitahu, secara peribadi beliau terasa kehilangan yang amat sangat lantaran pelajar-pelajar dan guru di pusat tahfiz itu sering mengadakan bacaan Yaasin di kediamannya di Jalan Duta pada malam Jumaat.

 

“Satu tragedi yang terasa sangat (kepada saya) sebab mereka selalu adakan program di (rumah) Jalan Duta.

“Satu tragedi yang amat sedih dan menyayat hati,” katanya yang baru selesai mengadakan lawatan rasmi ke Amerika Syarikat dan bertemu Perdana Menteri Britain, Teresa May di London.

Mengulas lanjut Najib berkata, kejadian itu boleh dielakkan sekiranya kerja-kerja penambahan pada premis itu tidak dilakukan.

“Kesimpulan tragedi ini boleh dielakkan sekiranya tidak dilakukan pindaan (terhadap premis terbabit).

“(Mereka) bina dinding tambahan menyebabkan pintu keluar satu sahaja. Siasatan secara mendalam akan dilakukan sebelum kita buat kesimpulan yang berdasarkan bukti.

“Kejadian ini adalah takdir tetapi rancangan kami adalah untuk tahfiz ini dipindahkan ke bangunan lain.

“Memang mereka patut berpindah sebelum ini tetapi takdir menentukan lain. Sedih dan takziah kepada semua,” katanya lagi.

Menurut Najib, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid akan mempengerusikan mesyuarat Pasukan Petugas Khas pada Selasa depan.

Ia bagi melihat faktor keselamatan kesemua pusat tahfiz di negara ini supaya perkara seumpamanya tidak berulang. -MalaysiaGazette.