SYDNEY – Kekurangan bahan bakar jet menyebabkan pembatalan penerbangan di Lapangan Terbang Auckland, New Zealand dengan gangguan penerbangan dijangka berterusan.

Sejumlah 23 penerbangan antarabangsa dan domestik telah dibatalkan dalam tempoh 24 jam, kata Pengurus Hal Ehwal Korporat Lapangan Terbang Auckland, Simon Lambourne kepada Reuters menerusi telefon hari ini.

Syarikat-syarikat minyak mencatu bahan bakar kerana kebocoran pada paip pembekalan untuk Auckland yang telah pun ditutup untuk dibaiki di loji penapisan diĀ Marsden Point, Whangarei.

Loji penapisan New Zealand, yang memiliki saluran paip itu berkata, ia mengambil masa antara 10 hingga 15 hari untuk membaikinya, menurut laporan berita Radio New Zealand.

Saluran paip minyak itu merupakan hanya sumber bahan bakar jet untuk Lapangan Terbang Auckland.

“Syarikat penerbangan yang beroperasi di Lapangan Terbang Auckland dikurangan peruntukan bahan bakar mereka. Ini menimbulkan kesulitan dan akan memerlukan syarikat penerbangan mengambil alternatif langkah-langkah pengisian semula bahan bakar,” kata jurcakap Mobil Oil New Zealand Limited, Andrew McNaught yang mewakili pembekal bahan bakar.

Pesawat-pesawat perlu membawa bahan bakar tambahan untuk membolehkan mereka membuat penerbangan balik tanpa perlu mengisi semula bahan bakar atau berhenti di lapangan terbang lain untuk mengisi bahan bakar dalam perjalanan ke atau dari Auckland, kata McNaught dalam kenyataan menerusi e-mel hari ini.

Air New Zealand membatalkan beberapa penerbangan untuk menggabungkan muatan penumpangnya dan melencongkan penerbangan jarak jauh Asia dan Amerika Utara untuk mengisi bahan bakar di lapangan terbang di Pasifik dan Australia, katanya dalam kenyataan media.

Qantas dan Jetstar menerusi e-mel berkata, syarikat-syarikat tersebut sedang berusaha untuk meminimumkan kesan ke atas pelanggannya dan menggesa mereka memeriksa status penerbangan masing-masing menerusi dalam talian. – Reuters