Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad hadir ke Mahkamah Rayuan bagi mengikuti prosiding siasatan kes kerugian akibat urus niaga mata wang asing oleh Bank Negara Malaysia di Istana Kehakiman Putrajaya. foto IQBAL BASRI, 18 SEPTEMBER 2017.

PUTRAJAYA – Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad memberitahu Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berhubung kerugian Bank Negara Malaysia (BNM) atas urus niaga mata wang, bahawa beliau pernah memasuki bilik dagangan BNM ketika menjawat jawatan itu.

Menurut Dr. Mahathir, aktiviti itu dilakukan hanya sekali di BNM.

“Saya pernah dijemput oleh (Tan Sri) Jaafar Hussein (Gabenor BNM) ke dalam bilik dagangan. Cuma sekali sahaja kerana Jaafar ingin menunjukkan kepada saya tempat urus niaga di jalankan.

“Saya ada dalam 30 minit sahaja untuk memenuhi hasrat Jaafar sahaja,” katanya dalam prosiding hari ini.

Saksi ke 18, Azman Mat Ali sebelum ini memberitahu Dr Mahathir tidak pernah menyaksikan apa-apa transaksi berkaitan urus niaga mata wang asing yang dijalankan BNM.

Dalam pada itu, Dr. Mahathir berkata, bank pusat itu beroperasi secara bebas sebagai sebuah badan yang diwujudkan di bawah Ordinan Bank Negara Malaysia dan mempunyai struktur sendiri dan dipimpin oleh seorang gabenor.

“Sebagai perdana menteri, saya tidak pernah terlibat dalam pentadbiran Bank Negara dan saya percaya bahawa saya tidak dibenarkan di bawah undang-undang untuk terlibat dalam dasar dan urusannya.” katanya lagi.

Mengulas lanjut, Dr. Mahathir berkata, beliau ada dimaklumkan oleh Jaafar bahawa BNM dapat mengukuhkan kedudukan menerusi urus niaga mata wang asing.

“Jaafar buat keputusan untuk secara aktif dalam urus niaga mata wang asing,” katanya.

Beliau turut menegaskan bahawa BNM hanya mengalami kerugian dalam lingkungan RM5.7 bilion sahaja sebagaimana yang dinyatakan bekas Menteri Kewangan, yang juga saksi ke 21, Datuk Seri Anwar sebelum ini.

“Saya tidak ingat angka RM30 bilion. Tapi hanya RM5.7 bilion yang disebut. Ia dimaklumkan kepada saya.

“Tahap kerugian yang saya tahu adalah RM5.7 bilion,” jelas Dr. Mahathir.

Sidang bersidang semula pada sesi petang. MalaysiaGazette

2 Komen

  1. adà orang nàk kaitkan mahàdir dengan 30 bilîon masuk poket dia . macàm mana pula mahadir tak tahu . ini prœjet tergendala lagi .

Comments are closed.