Hilmi Yahaya

PULAU PINANG – Tawaran gaji sehingga mencecah RM150,000 sebulan oleh hospital swasta serta hospital luar negara menjadi punca utama ramai doktor pakar kerajaan letak jawatan.

Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Hilmi Yahaya berkata, tawaran gaji itu jauh lebih menarik berbanding RM15,000 yang dibayar kerajaan kepada golongan berkenaan ketika ini.

Menurut beliau, selain doktor pakar, kerajaan juga berdepan cabaran mengekalkan perkhidmatan jururawat di hospital kerajaan selepas kumpulan itu turut ditawar gaji lumayan sehingga RM10,000 sebulan oleh pihak luar.

Sehubungan itu, Hilmi berkata, kerajaan ketika ini memperkenalkan pelbagai inisiatif bagi memastikan doktor pakar kekal berkhidmat dalam sektor kerajaan.

“Antaranya kita memperkenalkan program bayaran penuh oleh pesakit yang boleh memilih doktor pakar untuk merawat mereka di hospital kerajaan.

“Bayaran ini akan diserahkan kepada doktor pakar berkenaan serta kakitangan yang membantu sekali gus dapat menambah pendapatan mereka,” katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas mengiringi Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang, Tun Abdul Rahman Abbas dan isteri, Toh Puan Majimor Shatiff melawat Hospital Kepala Batas, di sini hari ini.

Hilmi yang juga Ahli Parlimen Balik Pulau mengulas cadangan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi baru-baru ini supaya Jabatan Perkhidmatan Awam mengkaji semula skim gaji doktor pakar dan petugas dalam sektor kesihatan.

Menurut Ahmad Zahid, cadangan itu bagi mengelakkan golongan profesional berkenaan berhijrah ke negara lain kerana tawaran gaji yang lumayan sehingga negara kekurangan doktor pakar.

Mengulas lanjut, Hilmi berkata, kerajaan ketika ini juga mewujudkan skim khas bagi membolehkan para doktor menyambung pengajian dalam bidang sarjana di universiti-universiti tempatan.

Setakat ini, kata beliau, seramai 500 doktor telah berjaya lulus pengajian masing-masing namun terdapat segelintir daripada mereka kemudiannya memilih berhenti kerja.- MalaysiaGazette