Noor Hisham Abdullah, KP Kesihatan, Thanabalan mati di lokap
Dr. Noor Hisham Abdullah

KUALA LUMPUR – Kes demam denggi bagi tempoh 3 hingga 9 Sept menunjukkan peningkatan dengan 1,223 kes berbanding 1,171 kes pada minggu sebelumnya, kata Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah.

Beliau berkata walaupun peningkatan itu tidak ketara, langkah pencegahan dan kawalan perlu diambil segera supaya trend pertambahan kes pada penghujung tahun seperti sebelum ini dapat dibendung.

Bagaimanapun, katanya jumlah kumulatif kes denggi yang direkodkan mengurang sebanyak 11,171 kes kepada 66,906 berbanding 78,077 kes dalam tempoh sama tahun lepas.

“Jumlah keseluruhan kematian demam denggi juga telah menurun sebanyak 27 kematian dengan 149 kematian dilaporkan pada tempoh sama tahun ini berbanding 176 kematian pada 2016,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dr Noor Hisham berkata sejumlah 438 lokaliti wabak demam denggi dilaporkan di 14 negeri dan 71 lokaliti ‘hotspot’ semasa direkodkan di enam negeri.

Dalam pada itu katanya satu kes chikungunya direkodkan pada minggu tersebut di Sungai Udang, Yan, Kedah, menjadikan jumlah keseluruhan kes chikungunya yang dilaporkan sehingga 9 Sept tahun ini ialah sebanyak 255 kes iaitu 189 kes di Kedah, Selangor (33), Johor (24), Kelantan (7) dan Perak, dua kes.

Dr Noor Hisham berkata setakat 9 Sept tahun ini, pemantauan sistem survelan virus Zika oleh Makmal Kesihatan Awam Kebangsaan dan Institut Penyelidikan Perubatan mendapati keputusan ujian bagi 1,307 sampel darah dan 29 sampel air kencing dalam kalangan pesakit yang menunjukkan gejala jangkitan virus berkenaan adalah negatif.

— BERNAMA