Morten Frost

KUALA LUMPUR – Morten Frost Hansen menegaskan punca utama dia meletak jawatan selaku Pengarah Teknikal Persatuan Badminton Malaysia (BAM) adalah disebabkan masalah peribadi dan ia kekal menjadi rahsia buat dirinya.

Frost yang menyerahkan surat peletakan jawatannya minggu lalu turut menjelaskan ia tiada kena mengena dengan kemerosotan prestasi pemain negara terutama dalam kejohanan utama tahun ini, seperti Piala Sudirman (Mei lalu) serta Kejohanan Dunia dan Sukan SEA Kuala Lumpur 2017, bulan lalu.

“Saya tidak menyesal tetapi saya sedih. Saya menyatakan masalah peribadi dalam surat peletakan jawatan saya dan ia akan kekal sebagai peribadi.

“Bagaimanapun, saya boleh katakan yang ia tidak ada kena mengena dengan keputusan tahun ini. Ini adalah sukan, dan pasti ada naik dan turun.

“Kami mengharungi musim yang gemilang pada 2016 dan mungkin yang terbaik dalam sejarah BAM.

“Saya bangga menjadi sebahagian daripada kejayaan itu. Malangnya, kami mengalami sedikit kemerosotan pada tahun 2017. Sudah pasti antara satu yang teruk tahun ini adalah kegagalan Goh V Shem-Tan Wee Kiong (beregu lelaki) bermain dengan baik di Kejohanan Dunia,” kata Frost kepada BHOnline di sini hari ini.

Sebelum ini, Frost pernah meninggalkan kem skuad badminton negara selepas pada era 1990-an.

Semalam, Presiden BAM, Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria mengumumkan badan induk itu menerima peletakan jawatan Frost selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Kejurulatihan dan Latihan (C&T) di Akademi Badminton Malaysia di Bukit Kiara.

Perkembangan terbaru itu bagaimanapun menimbulkan pelbagai persoalan dengan kontrak Frost hanya akan tamat pada 2021.

Tindakan Frost mengumumkan perpisahan V Shem-Wee Kiong lebih awal dikatakan menjadi punca utama kerana dia dilihat sudah melangkaui kuasa C&T.

Malah, perselisihan faham antara dia dan jaguh perseorangan negara, Datuk Lee Chong Wei juga dikatakan turut menjadi alasannya meninggalkan BAM.

Ketiadaan Frost menyaksikan semua lima ketua jurulatih akan memberi laporan terus kepada C&T.

Ditanya sama ada ia adalah jalan terbaik untuk sukan badminton Malaysia, Frost berkata: “Saya tidak pasti.

“Tetapi saya fikir BAM perlu melantik pengarah teknikal yang baharu bagi meletakkan seseorang yang berada di tengah-tengah, antara ketua jurulatih dan C&T,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast