Ahmad Zahid Hamidi

MANILA – Kerajaan Malaysia tidak akan membenarkan sebarang acara atau parti gay yang dilaporkan dirancang untuk diadakan di Kuala Lumpur pada 30 Sept, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau berkata walaupun sehingga ini penganjur acara itu belum membuat permohonan permit bagi membolehkan acara itu berlangsung, beliau telah mengarahkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk tidak meluluskannya.

“Jika diteruskan juga maka acara itu dianggap sebagai perhimpunan haram,” katanya kepada media Malaysia di sini hari ini.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri tiba di Filipina Selasa lepas bagi menghadiri Mesyuarat Menteri ASEAN Mengenai Jenayah Rentas Sempadan (AMMTC) Ke-11 dan Mesyuarat Berkaitan yang berakhir hari ini.

Dua hari lepas, laporan sebuah laman portal mengatakan satu acara gay akan diadakan di Kuala Lumpur pada 30 Sept ini, yang bakal mempromosikan acara perhimpunan gay tahunan terbesar di Asia iaitu ‘White Party Bangkok’ di Thailand yang dijadualkan berlangsung pada 28 Dis depan.

“Sebagai Menteri Dalam Negeri saya telah mengarahkan PDRM dan Jabatan Imigresen supaya memantau dengan terperinci agar White Party ini tidak dilakukan di negara kita dan di mana-mana tempat sekali pun, sama ada secara terbuka atau tertutup.

“Ini adalah komitmen saya yang ingin saya nyatakan kepada seluruh rakyat Malaysia,” katanya.

Ahmad Zahid berkata beliau telah mendapat laporan daripada Bukit Aman berhubung penganjuran acara itu dan meminta polis untuk bertindak sewajarnya.

Beliau juga telah mengarahkan Jabatan Imigresen untuk bertindak tegas dengan tidak mengeluarkan visa atau kebenaran memasuki negara ini terhadap rakyat asing yang ingin menghadiri acara yang memalukan negara itu.

“Kita sedang meneliti nama-nama individu yang berkenaan dan akan meletakkan mereka dalam kategori ‘not to let’ (tidak dibenarkan masuk di pintu masuk negara),” katanya.

Beliau berkata kerajaan amat prihatin berhubung laporan polis dan kebimbangan badan bukan kerajaan dan badan politik berhubung penganjuran acara itu.

“Apa yang dirancang mereka ini adalah sesuatu yang di luar perlakuan manusia normal,” katanya.

— BERNAMA