nufam
Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Malaysia Airlines Berhad (MAB) didakwa membuang beberapa pekerja kabin kerana masalah berat badan.

Setakat ini, MAB didakwa telah membuang lima kakitangannya, tiga lelaki dan dua wanita manakala kira-kira 20 orang lagi akan menerima nasib sama.

Pekerja-pekerja tersebut dipercayai telah berkhidmat lebih 20 tahun.

Kesatuan Kebangsaan Anak Kapal Kabin Malaysia (NUFAM) berkata, kes seumpama ini adalah satu bentuk diskriminasi yang perlu dihentikan segera kerana tidak wajar dan tidak adil kepada kakitangan terlibat.

Malah, Akta Pekerjaan di Malaysia juga tidak membenarkan pembuangan kakitangan dibuat semata-mata dengan alasan tersebut.

“Apakah hak MAB untuk mendiskriminasikan pekerja-pekerja tersebut? Mengapa hanya krew dan bukan orang lain yang juga berlebihan berat badan? Apakah mereka yang mempunyai berat badan sudah tidak boleh bekerja dengan MAB?

“MAB cukup memalukan kerana mampu berbelanja besar untuk membeli pesawat tetapi memecat kakitangan yang mempunyai masalah berat badan,” kata NUFAM kepada MalaysiaGazette.

Bagaimanapun, NUFAM mengakui semua pekerja yang terlibat telah diberikan notis sebelum pemberhentian dilakukan.

Namun, katanya, klausa sedemikian tidak dimasukkan dalam kontrak-kontrak pekerja MAB tetapi ada dalam polisi.

Menurut beliau, meskipun MAB memberi pampasan kepada kakitangan yang dibuang tetapi syarikat penerbangan itu sepatutnya memberi masa yang secukupnya kepada anak-anak kapal.

NUFAM berkata, pihaknya memandang berat isu ini dan akan mengambil tindakan undang-undang jika ia berterusan.

Pada masa sama, NUFAM juga meminta Kementerian Pengangkutan dan Kementerian Sumber Manusia melihat isu ini supaya penyelesaian secara adil dapat dicapai. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast