I
KUALA LUMPUR – Tempoh reman tujuh remaja disyaki terlibat dalam kes kebakaran Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah di Jalan Keramat Ujung, di sini disambung tujuh hari lagi bermula esok sehingga 29 Sept.

Tempoh reman suspek berkenaan yang ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh dan Seksyen 435 Kanun Keseksaan kerana khianat menggunakan api, berakhir hari ini.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur SAC Rusdi Md Isa ketika dihubungi berkata: “Kami dapatkan perintah daripada mahkamah untuk sambung reman bagi membantu siasatan yang dijalankan.”

Sebanyak 21 pelajar dan dua guru yang bertugas sebagai warden pusat tahfiz itu maut apabila asrama yang terletak di tingkat tiga bangunan pusat tahfiz itu terbakar pada kira-kira 5.15 pagi pada 14 Sept lepas.

Susulan kejadian tragik itu, polis menahan tujuh remaja berusia 11 hingga 18 tahun bagi membantu siasatan kes kebakaran pusat tahfiz itu dan kesemua mereka direman tujuh hari bermula 16 Sept.

— BERNAMA